Tunjal kepala orang awam di Nu Sentral, polis teliti tindakan tatatertib, kesihatan mental 'Inspektor Sheila'


  • 112
  • Ahad, 18 Jun 2023

Tangkap layar rakaman tular wanita dipercayai pegawai polis bernama Inspektor Sheila dilihat bertikam lidah dengan orang awam.

PIHAK polis akan meneliti tindakan tatatertib dan kesihatan mental seorang pegawai kanan polis wanita yang hampir menampar orang awam ketika bergaduh di tempat letak kereta sebuah pasaraya di Brickfields, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan kejadian tersebut menerusi satu video tular dipercayai berlaku pada Jumaat kira-kira pukul 5.20 petang.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham apabila pegawai polis terbabit ingin meletakkan kenderaan di sebelah kenderaan pengadu, namun pintu kenderaan pengadu di bahagian sebelah pemandu dan penumpang belakang terbuka.

"Pengadu menyatakan neneknya sedang menukar lampin pakai buang anak saudara ketika itu.

"Pegawai polis terbabit yang tidak berpuas hati menekan hon kenderaan dan dilihat menjerit serta memarahi pengadu dan ahli keluarganya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Amihizam berkata, pegawai polis berkenaan turut memperlekehkan pakaian pengadu yang kelihatan seksi serta merakam video.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

"Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat apa-apa spekulasi berhubung dengan video tular ini kerana kes masih dalam siasatan pihak polis.

"Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan," katanya.

Majoriti pada Sabtu melaporkan pegawai polis wanita yang lebih dikenali sebagai 'Inspektor Sheila' bergaduh mulut dengan orang awam akibat perebutan tapak parkir di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur.

Kejadian tersebut dirakam oleh mangsa dan tular di media sosial turut menyatakan wanita berkenaan juga mahu menampar mukanya sebelum ada saksi cuba meleraikan pergaduhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram