PEGAWAI polis wanita yang dipercayai menghina anggota polis pangkat bawahan perlu dikenakan tindakan yeng lebih serius agar perkara seperti itu tidak berlaku lagi, kata Persatuan Bekas Polis Malaysia.
Setiausaha Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia, Mohamed Lokman Mahmud, 64, berkata, pegawai tersebut seharusnya diambil tindakan tatatertib antara lain dengan ditukar jabatan.
"Pegawai tersebut perlu ditukarkan ke posting (jabatan) lain yang mana penugasannya melibatkan pergaulan yang lebih banyak dengan anggota bawahan," katanya kepada Majoriti.
Menurut Lokman, tindakan itu perlu supaya ia menjadi pengajaran buat pegawai atasan yang lain agar tidak bertindak sedemikian.
"Pertama, mereka (pegawai atasan) seharusnya sedar banyak kerja-kerja pegawai kanan dibantu pegawai pangkat rendah.
Lokman mengakui, isu pegawai kanan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada anggota bawahan bukanlah kali pertama berlaku.
"Kedua, kesedaran dari sudut undang-undang dalam kalangan anggota pangkat rendah meningkat. Pada masa masa, sekiranya perkara ini berlaku lagi, pegawai pangkat rendah boleh mendapatkan pertolongan daripada badan bukan kerajaan (NGO).
"Mereka boleh merujuk kepada NGO seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang memperjuangkan hak anggota pangkat rendah," jelasnya.
Lokman turut mengakui, isu pegawai kanan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada anggota bawahan bukanlah kali pertama berlaku.
Katanya, perkara tersebut kebanyakannya berlaku di zaman kolonial dan masih ada yang terbawa-bawa hingga sekarang.
"Namun begitu, kes sedemikian diibaratkan seperti kes yang terpencil dan jarang berlaku sejak 15 tahun lalu.
"Saya bagi contoh, seperti situasi yang berlaku melibatkan pegawai kanan wanita berkenaan, dia seharusnya faham dengan tindakan undang-undang.
"Anggota Lans Koperal itu diarahkan oleh Bilik Kawalan Polis Daerah agar menyiasat dan melaporkan kembali kehadiran yang dilaporkan oleh orang awam di lokasi berkenaan.
"Sekiranya Inspektor tersebut benar-benar faham undang-undang serta kuasanya ketika itu, saya rasa pegawai tersebut tidak berani bertindak demikian, kecuali pegawai kanan berkenaan berada dalam keadaan tidak siuman atau bipolar," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Lokman juga berpendapat, pegawai kanan yang berlaku biadab pada anggota polis pangkat bawahan sebenarnya kurang diberi pendedahan ketika bertugas bersama anggota.
"Saya berpendapat pegawai-pegawai yang bertindak seperti ini kurang pendedahan bertugas di bawah bersama anggota bawahan contoh operasi yang melibatkan risiko keselamatan yang tinggi kepada pasukan operasi.
"Namun begitu, kita tidak boleh pukul rata, mungkin juga pegawai ini mempunyai tekanan terhadap tugasan sehingga menyebabkan mereka bertindak di luar kawalan.
"Akhir sekali pandangan saya agar setiap anggota dan pegawai polis mestilah benar-benar faham undang-undang dan kuasa mereka ketika menjalankan tugas," katanya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan pegawai polis wanita yang lebih dikenali sebagai Inspektor Sheila sekali terbabit dalam kejadian menghina dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada anggota polis pangkat bawahan di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Khamis lalu, ditahan polis pada Ahad.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan wanita berusia 35 tahun itu dibuat bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.
Namun begitu, pada Isnin, wanita berkenaan sekali lagi dirakam meninggikan suara dan memperlekehkan pegawai bawahan di Balai Polis Seri Petaling, Kuala Lumpur pada Isnin.
Melalui video yang dimuat naik dalam aplikasi Telegram Info Semasa Official, kelihatan pegawai kanan polis tersebut duduk di kaunter perkhidmatan pelanggan polis berkenaan.
Melalui video tersebut, pegawai kanan polis berkenaan turut didengar mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram