
PELAJAR pintar atau lebih dikenali sebagai mereka yang memiliki bakat genius merupakan aset sangat berharga buat sesebuah negara.
Ini kerana kehadiran kelompok tersebut dalam sesebuah masyarakat bukanlah sesuatu yang mudah untuk dikenal pasti.
Menurut kajian, terdapat sekurang-kurangnya satu kanak-kanak pintar daripada 10,000 kanak-kanak.
Bagaimanapun, bakat dimiliki kumpulan tersebut perlu dicari seawal mungkin dan dibentuk dengan sistem tertentu bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing dan seterusnya menjadi modal insan bernilai tinggi buat negara.
Bagi tujuan tersebut, kerajaan sejak 2009 sudah memperkenalkan sistem pembelajaran di Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memenuhi keperluan kumpulan tersebut yang berbeza daripada pelajar sekolah biasa.
Usaha bagi mengenal pasti kumpulan tersebut dilakukan terhadap murid yang berusia antara lapan hingga 15 tahun.
Untuk menyertai program yang kini dikenali sebagai Pusat GENIUS@Pintar Negara (PGPN) itu, seorang pelajar harus mempunyai skor kecerdasan intelek (IQ) sekurang-kurangnya 130 dan umur mental melebihi tiga tahun berbanding umur biologi.
Bagaimanapun, selepas lebih sedekad program tersebut berjalan, terdapat segelintir pihak mula membangkitkan isu mengenai status dan keberadaan terkini kumpulan pelajar genius tersebut.
Antara pihak mula menimbulkan mengenai perkara berkenaan ialah bekas Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Dr Shahidan Radiman.
"Saya belum dengar lagi budak-budak genius dari Permata Pintar atau Pusat Genius Negara yang sudah menjadi pensyarah di universiti tempatan. Paling tidak mereka sudah mula contribute to society (berkhidmat kepada masyarakat)," katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.
Pelajar pintar dilihat sebagai aset modal insan bernilai tinggi yang penting untuk membantu kemajuan negara khususnya dalam bidang teknologi dan inovasi. — Gambar hiasan
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan beberapa isu yang berkaitan dengan tahap perkembangan pelajar genius yang dibentuk di bawah program terbabit.
Shahidan turut mengkritik kecenderungan kumpulan pelajar berkenaan yang lebih berminat untuk mendalami kursus profesional di universiti berbanding subjek sains yang fundamental seperti matematik, fizik, biologi dan kimia.
"Dulu lagi saya dah timbulkan, pertamanya, budak pintar ini belum genius lagi. Mereka perlu orang genius juga untuk melatih mereka. Kedua, mereka harus digalakkan mengambil kursus sains yang fundamental.
"Lepas PhD (Ijazah Doktor Falsafah), terpulang kalau mereka nak teruskan buat bidang lain seperti perubatan dan undang-undang. Kalau falsafah dan teologi tentunya lagi bagus. Ketiga, sentiasa beri mereka masalah mencabar. Keempat, ibu bapa masih memainkan peranan penting.
"Mungkin saya silap. Saya harap ramai yang berjaya di luar negara dan mungkin belum pulang lagi. Tapi jika yang dikatakan pintar ini pun takut nak buat matematik dan fizik, habislah kita...siapa yang pandu mereka selama ini," ujarnya lagi.
Hantaran tersebut turut mendapat reaksi daripada Pengarah PGPN, Profesor Madya Dr Rorlinda Yusof di ruangan komen yang turut mengakui kebenaran dibuat oleh Shahidan.
Katanya, antara cabaran dihadapi oleh kumpulan tersebut sehingga memaksa mereka membuat pilihan subjek tertentu adalah dari segi aspek tajaan biasiswa kerana rata-rata penajaan sedia ada lebih memihak kepada bidang sains gunaan.
"Dengan peluang penajaan lebih luas dalam bidang tersebut, disertai peluang pekerjaan lebih memihak kepada bidang sains gunaan, ia mendorong anak-anak ini untuk memilih mendalami bidang tersebut," ujarnya.
Pada masa sama, Rorlinda turut berkongsikan maklumat terkini berkaitan perkembangan kumpulan tersebut yang berada di bawah program berkenaan, yang menurutnya berjumlah 756 orang bagi tempoh bermula pada 2011 untuk kohort satu hingga sembilan.
Rorlinda berkata, usaha untuk menempatkan pelajar pintar itu sebagai tenaga pengajar di universiti tempatan sudah dimulakan. — Gambar hiasan
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, hanya 25 orang pelajar memasuki bidang sains fundamental dengan seorang daripadanya baru sahaja menamatkan pengajian PhD dari Universiti Oxford dan kini sedang berkhidmat sebagai saintis di syarikat pembangunan genom terbesar dunia, BGI group.
"Selebihnya masih dalam proses menyempurnakan pengajian. 28 peratus daripada mereka mendapat penajaan PhD dari universiti tempat pengajian mereka seperti Universiti Stanford, Universiti Illinois Urbana-Champaign, Universiti Chicago, Universitiy Johns Hopkins dan beberapa lagi," jelasnya.
Berkenaan kehadiran kumpulan tersebut sebagai pensyarah di universiti, Rorlinda berkata, perkara tersebut sudah dibawa kepada perhatian dekan dan kepimpinan universiti di dalam negara yang sememangnya positif dan bersedia menerima pelajar berkenaan selepas mereka selesai menyempurnakan pengajian masing-masing.
"Ada perkara lain perlu diambil kira, antaranya memastikan mereka tiada ikatan perjanjian bekerja dengan mana-mana agensi penajaan yang menaja mereka di peringkat pengajian awal dan itu belum termasuk faktor tawaran lebih menarik daripada agensi luar untuk bekerja dalam bidang mereka.
"Bagaimanapun, ada beberapa alumni yang tamat pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana dalam pelbagai bidang telah kembali ke Pusat GENIUSpintar berkhidmat sebagai tenaga pengajar di kolej ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram