BENARLAH segalanya bermula dari rumah. Jadi dalam hal ini, kita mungkin patut mula berasa bimbang dan gerun dengan apa yang ada sekarang.
Ketika kita mengagumi ketabahan Muhammad Syahril Saidi, 18, negara ini juga sudah agak biasa dengan kisah-kisah yang sebaliknya.
Barangkali tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa Muhammad Syahril adalah watak yang kian langka dalam kehidupan hari ini.
Dia adalah manusia istimewa kerana sanggup mengabaikan sekian banyak keinginannya sebagai seorang remaja hanya kerana mahu memastikan wanita yang pernah menjadi tempat jantungnya mula berdetak dan tulang-temulangnya mula terbentuk dapat dijaga sebaik mungkin.
Apa yang selalu kita dengar sekarang ialah kebiadaban seseorang kepada ibu bapa, malah kejadian membuang orang tua sendiri bukan lagi begitu aneh.
Anak-anak yang lebih muda dan belum bekerja atau berumah tangga pula kebanyakannya sibuk dengan 'dunia' ciptaan mereka sendiri sehingga enggan lagi mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka.
Dalam banyak keadaan, kemelut sosial yang sedang membelenggu kita sebenarnya merupakan 'buah' dari 'pokok' yang benihnya kita semai dan besarkan bertahun-tahun lalu.
Dan tidak salah jika dikatakan kanak-kanak sekarang dibesarkan oleh 'kanak-kanak' yang sudah terjejas mindanya 10 hingga 20 tahun dulu.
Barangkali sudah lama kita tersilap dalam memberi keutamaan apabila mengetepikan hal-hal penting dan melebihkan yang remeh. Ia dapat difahami apabila kebanyakan kita banyak merujuk kepada apa yang dihidangkan di media sosial, atau lebih tepat pempengaruh.
Baru tiga hari Muhammad Syahril mendapat keputusan cemerlang SPM, ibunya Faridah Ismail meninggal dunia akibat menghidap kanser dan angin ahmar sejak 2019. — Bernama
Tambah menyedihkan apabila data menunjukkan kira-kira 14,000 pelajar direkodkan tidak menghadiri peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Di mana silapnya? Apakah ini bukti kegagalan ibu bapa?
Kerana itu kita boleh menganggap Syahril seorang anak yang istimewa serta langka. Ketika terlantar kerana uzur sejak 2019, ibunya masih mampu menyemai rasa kecintaan terhadap ilmu kepada Syahril.
Tidak itu saja, remaja itu juga tahu memilih keutamaan di antara berseronok dengan kawan-kawan atau hanyut dengan gajet, dengan tanggungjawab berbakti kepada ibu sendiri.
Isu 'kehilangan' begitu ramai pelajar yang tidak menghadiri peperiksaan SPM bukanlah remeh. Sudah tentu ada antara mereka adalah pelajar yang pintar, berbakat, mempunyai masa depan yang baik dan seumpamanya.
Mungkin juga isu itu melibatkan masalah peribadi.
Seharusnya ada jawapan untuk persoalan ini jua.
Apa pula langkah kerajaan apabila 70,000 lagi pelajar dicatatkan tidak layak memiliki sijil SPM kerana gagal subjek wajib lulus?
Seharusnya masalah anak-anak remaja ini diketahui untuk segera merangka strategi bagi mengelak senario sama berulang kerana jumlah ini sememangnya ramai.
Yang pasti, jika generasi muda tidak segera dibimbing ke arah jalan yang betul tentu sekali ia akan merugikan negara.
Kita memerlukan anak-anak muda yang cerdik secara holistik, bukannya cemerlang hanya di atas kertas atau sijil peperiksaan semata-mata. Syahril itu adalah suri teladan yang mesti dibugarkan.
Tugas itu terletak di tangan kita semua - kerajaan, jabatan pendidikan, masyarakat, ibu bapa, dan remaha sendiri.
Kembali dan insafilah realiti. Buah yang baik adalah hasil daripada didikan yang baik. Mungkin perlu diperhalusi dan diteladani apa rahsia Allahyarham Faridah Ismail sehingga dia mampu melahirkan dan mendidik enam zuriat termasuk Syahril sehingga menjadi manusia yang terpuji.
Masa depan Syahril boleh dikatakan selamat buat masa ini apabila dia mendapat banyak tawaran dan bantuan daripada pelbagai pihak. Sedikit sebanyak ia adalah hasil kemajuan teknologi dan media sosial yang menguar-uarkan pengorbanan remaja terbabit.
Tidak banyak pilihan yang ada pada kita. Usaha mesti digerakkan agar lebih ramai anak muda seperti Syahril dapat dilahirkan. Proses itu bermula dari rumah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram