BAHASA Inggeris merupakan antara subjek utama yang diberikan penekanan untuk dikuasai oleh semua murid sekolah di dalam negara sebagai bahasa kedua.
Ini kerana, keupayaan menguasai kemahiran membaca, menulis dan bertutur dalam bahasa yang merupakan antara bahasa utama dunia itu dapat memberi kelebihan yang besar.
Malah, dengan kemahiran tersebut, ia dilihat meluaskan lagi peluang mereka untuk bersaing bukan sahaja di Malaysia tapi juga di seluruh dunia yang semakin terbuka ketika ini.
Namun begitu, cabaran dihadapi semua murid di dalam negara untuk menguasai subjek bahasa Inggeris tidaklah sama antara satu sama lain.
Bagi murid biasa yang tinggal di bandar, keterbukaan masyarakat persekitaran sangat membantu usaha mereka untuk mahir dalam bahasa Inggeris.
Untuk murid yang dibesarkan dalam keluarga yang menggunakan bahasa selain bahasa Inggeris pula, proses pembelajaran mereka turut dibantu dengan pendedahan mereka terhadap dunia luar.
Ia antaranya melalui program berbahasa Inggeris di televisyen, akses kepada isi kandungan di Internet termasuk sosial media melalui peranti pintar masing-masing.
Eris kini merupakan pelajar ijazah tahun pertama di UPNM.
Bagaimanapun, kemudahan dan tahap pendedahan sama tidak dapat dirasai oleh murid Orang Asli yang menghadapi pelbagai keterbatasan dalam usaha mereka menguasai bahasa tersebut.
"Tahap pendedahan awal yang kami terima terhadap bahasa Inggeris ini sangat berbeza dengan murid biasa yang di bandar atau di kampung biasa.
"Kalau di bandar, kurang-kurang dalam kehidupan harian, mereka boleh nampak ada papan tanda yang berbahasa Inggeris.
"Tapi dalam kampung, kita tidak ada jumpa semua itu. Apatah lagi nak akses kandungan berbahasa Inggeris melalui alatan eletronik seperti telefon pintar, iPad dan sebagainya," kata Eris Joshan Chew Bo Heng.
Dibesarkan dalam komuniti Orang Asli suku Semai di Kampung Orang Asli Senta, Bidor Perak, Eris yang berusia 20 tahun mengakui perjalanan untuk murid orang asli seperti dirinya bagi menguasai bahasa Inggeris bukanlah sesuatu yang mudah.
Eris yang juga merupakan pelajar ijazah tahun pertama di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, dia agak bernasib kerana dibesarkan ibu bapa yang begitu mementingkan pelajaran dan memastikan setiap adik-beradiknya perlu sekurang-kurangnya menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Dia berkata, ia berbeza dengan keluarga lain di kampungnya yang tidak melihat pendidikan sebagai satu perkara yang perlu diberikan perhatian termasuk terhadap kepentingan menguasai bahasa Inggeris.
"Tapi walaupun keluarga saya sedar kepentingan bahasa Inggeris, tapi yang boleh berbahasa Inggeris saya seorang sahaja, yang lain hanya mampu faham kalau kita bercakap, itu pun hanya perkataan asas.
"Jadi waktu sekolah rendah, disebabkan saya memang suka membaca, akses yang saya ada hanyalah melalui buku yang diperoleh di sekolah. Itu sahaja.
"Yang lain adalah benda random yang ada di depan mata. Macam kalau pergi kedai, baca papan tanda kedai yang ada perkataan bahasa Inggeris untuk bangunkan kemahiran bahasa Inggeris saya," katanya yang merupakan anak kelima daripada lapan orang adik beradik.
Eris (depan) bergambar bersama ibu dan ayahnya.
Eris berkata, ketika di tingkatan satu hingga tiga, dia yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permai Rompin, Rompin, Pahang hanya mampu menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris.
Katanya, kemahiran untuk bertutur dengan fasih dalam bahasa tersebut hanya diperoleh semasa dirinya mendapat peluang melanjutkan pendidikan tingakatan empat dan lima di sekolah berasrama penuh di Maktab Tentera Diraja, di Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Di insitusi tersebut, Eris yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang sains komputer itu berkata, dia terdedah kepada persekitaran lebih terbuka untuk dirinya mengamalkan kemahiran bahasa Inggeris dalam aktiviti seharian.
Bagaimanapun, menurut Eris, tidak semua daripada rakannya yang bersama-sama memulakan pendidikan sejak daripada peringkat sekolah rendah berpeluang mempunyai nasib seperti dialaminya.
Katanya, daripada 12 orang rakannya yang bersama di sekolah rendah, hanya empat daripadanya dapat menghabiskan pendidikan sehingga ke peringkat SPM.
"Kemudiannya, daripada jumlah itu, saya seorang sahaja yang dapat melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi dengan yang lainnya terus bekerja selepas tamat tingkatan lima," ujarnya.
Menurut Eris, selain persekitaran kurang menyokong, pengajaran di sekolah terutamanya dalam subjek bahasa inggeris yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara menyebabkan ia sukar dipelajari.
Eris yang juga Ketua Biro Pendidikan dan Perhubungan Luar, Persatuan Mahasiwa Orang Asli Malaysia (PMOA) berkata, situasi itu dilihat menjadi antara punca utama ramai murid daripada komuniti tersebut tidak berminat mempelajari bahasa Inggeris.
"Bahasa ibunda kami adalah bahasa Semai. Tapi kebanyakan daripada kami nak kuasai bahasa Melayu pun sukar. Jadi nak belajar bahasa Inggeris, dengan menggunakan bahasa yang kami tidak mahir, memang agak susah," ujarnya.
Menurutnya, daripada kira-kira 500 orang penduduk di kampungnya, dianggarkan hanya empat hingga lima individu sahaja termasuk dirinya yang mampu menguasai sepenuhnya kemahiran berbahasa Inggeris.
Majid mengakui prestasi pendidikan yang ditunjukkan murid kadang kala menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa di kampung tersebut.
Sementara itu, Ketua Kampung Orang Asli Sayong Pinang, di Kota Tinggi, Majid Jantan, 59 tahun mengakui perkembangan pembelajaran subjek seperti Bahasa Inggeris dalam kalangan murid dari komunitinya agak kurang memberangsangkan.
Katanya, murid Orang Asli dari kampungya yang terdiri daripada suku Jakun dilihat agak sukar untuk memahami pengajaran yang dijalankan guru di sekolah terutamanya di peringkat sekolah rendah.
"Memang ada rujuk juga kepada pihak sekolah supaya mungkin perlu tambah baik apa yang perlu. Ini kerana kadang-kadang murid ada yang belajar tapi masih tak boleh nak membaca.
"Bukan sahaja bahasa Inggeris, bahasa Melayu pun mereka susah nak faham." katanya yang mempunyai enam orang anak dengan hanya seorang yang mampu menghabiskan pendidikan sehingga peringkat SPM.
Majid mengakui situasi tersebut kadang kala menimbulkan kerisauan terhadap dirinya dan ibu bapa di kampung tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram