SEMAKIN hari berita-berita mengenai remaja mahupun anak muda berkelakuan kurang beradab semakin kerap dilihat di media sosial dan juga boleh dirasai di persekitaran kita.
Sikap hormat-menghormati, kesopanan dan budi bahasa yang baik semakin hilang apabila berbicara dengan golongan yang lebih tua.
Hal ini sangat membimbangkan kerana anak-anak muda inilah yang bakal menjadi tonggak utama dalam perjuangan untuk mencorak dan membina masa depan yang lebih baik untuk dunia.
Agak menyedihkan mendengar keluhan orang ramai mengenai sikap generasi Z ini ataupun digelar Gen-Z iaitu generasi yang lahir antara lewat tahun 90an sehingga tahun 2010 dan membesar dengan teknologi yang semakin berkembang pesat. Kebanyakkan keluhan yang dibuat adalah daripada golongan pendidik yang mendidik anak-anak muda ini.
Mereka mengatakan anak muda tidak lagi peduli jika diberi teguran dan gaya bicara dengan pendidik mereka seperti rakan sendiri yang boleh berbicara dengan kasar tanpa ada sedikit budi bahasa.
Biarpun tahap intelektual remaja kini semakin tinggi akan tetapi tiada gunanya jika adab dan budi bahasa semakin rendah kerana kehidupan ini memerlukan intelektual dan adab berjalan seiring.
Baru-baru ini viral di media sosial seorang mahasiswa universiti yang sedang menjalani upacara konvokesyen melakukan aksi seperti bermain berebut skrol ijazah dengan pemberi skrol yang sangat dihormati tanpa menyedari tindakan mahasiswa tersebut tidak beradab di majlis rasmi yang dihadiri orang ramai.
Ini menunjukkan tiada sifat hormat kepada pemberi skrol ijazah tersebut dan mahasiswa itu tidak berasa malu akan tindakannya kerana dilihat bergelak ketawa selepas itu.
Tidak dinafikan bahawa anak muda sekarang lebih lantang bersuara dan berani dalam tindakan mereka akan tetapi sedikit sebanyak keberanian itu menghakis nilai murni ketimuran kita terutama apabila berkomunikasi dengan golongan lebih berusia dan terhormat.
Jadi di mana perginya adab generasi muda? Apakah punca-punca yang menjadikan anak muda sekarang seperti ini?
Pada era tanpa sempadan ini, perkembangan teknologi semakin pesat menyebabkan ianya mudah untuk mendapatkan peranti yang terkini untuk semua golongan untuk berkongsi informasi dan sebagainya.
Sudah tentu anak muda seawal usia 14 tahun mempunyai telefon pintar sendiri tanpa perlu pengawasan ibu bapa.
Oleh itu, anak muda akan banyak menghabiskan masa melayari media sosial seperti TikTok, Twitter dan sebagainya untuk bersosial dan berhibur dengan rakan-rakan seusia yang lain dan tidak mahu ketinggalan trend.
Hal ini menyebabkan anak muda kurang bergaul dengan orang yang lebih berusia atau dewasa sehingga tidak tahu untuk berbicara dengan beradab dan berbudi bahasa dengan golongan yang lebih tua.
Mereka berbicara dengan golongan itu seperti rakan-rakan mereka sendiri menggunakan cara percakapan yang hanya difahami oleh anak muda. Apa yang dikesali adalah mereka menganggap perbuatan mereka cool dan tidak salah.
Selain itu, pempengaruh ataupun ‘influencer’ di media sosial memberi pengaruh yang hebat kepada anak muda yang menjadi pengikut mereka di media sosial.
Setiap gerak-geri pempengaruh akan diikuti termasuklah dari segi perbicaraan dan perwatakan di media sosial.
Walaupun pempengaruh hanyalah berlakon di depan kamera akan tetapi anak muda senang terpengaruh dengan hal-hal ini sehingga ke dunia nyata menyebabkan mereka turut ikut berbicara dengan gaya yang sama seperti ‘slay’,‘ye dohh’ dan sebagainya.
Mereka juga terpengaruh dengan budaya-budaya barat apabila tidak menjaga sensitiviti masyarakat Asia.
Perkara seperti ini menyebabkan anak muda mempunyai budaya mereka sendiri yang kurang difahami generasi lain. Ia menyebabkan terdapatnya jurang perbualan dan juga jurang generasi seperti pemikiran yang berbeza yang akan menyebabkan perbalahan dan dianggap biadap.
Sebagai masyarakat Asia, adab itu sangatlah penting kerana ianya dijadikan budaya yang membentuk peribadi seseorang. Semestinya ibu bapa sentiasa mengajar anak-anak tentang adab akan tetapi zaman telah berubah mungkin cara didikan itu berbeza.
Justeru itu, sebagai rakyat malaysia kita perlu cakna akan hal ini dan tidak memandang remeh kerana ia mempunyai kaitan dengan masa depan dan identiti negara. — Majoriti
Nur Wahidah Binti Pesol, merupakan pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia.
*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram