Polis ambil keterangan 5 saksi bantu siasatan kes bekas pemain HM ceroboh bilik hotel isteri orang


  • 112
  • Ahad, 25 Jun 2023

Pemain berusia 49 tahun tersebut ditahan lalu selepas polis menerima laporan daripada wanita berkenaan yang mendakwa biliknya diceroboh lelaki berkenaan pada Rabu kira-kira pukul 6.10 petang. — Gambar hiasan

POLIS sudah mengambil keterangan daripada lima saksi bagi membantu siasatan membabitkan kes seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan yang disyaki menceroboh sebuah bilik hotel dihuni seorang wanita di Petaling Jaya, Selangor pada Rabu lepas.

Perkembangan itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

"Setakat ini, lima saksi telah diambil keterangan.Kita dalam proses untukmelengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Pendakwa Raya," katanya kepada Majoriti.

Pada Sabtu, Mohamad Fakhrudin memaklumkan pemain berusia 49 tahun tersebut ditahan selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun yang mendakwa biliknya diceroboh lelaki berkenaan pada Rabu kira-kira pukul 6.10 petang.

Katanya, suspek lelaki itu yang ditahan pada hari sama laporan dibuat direman sehari (23 Jun) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Beliau berkata, siasatan mendapati wanita terbabit menginap di bilik hotel berkenaan atas urusan kerja dan mengenali suspek tersebut kira-kira setahun lepas.

Sebelum itu, tular di laman sosial hantaran seorang lelaki mendakwa sebagai suami mangsa mengatakan bahawa bekas pemain bola sepak kebangsaan itu telah menceroboh bilik hotel dan bertindak agresif terhadap isterinya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram