PEKERJA di sebuah kedai bakeri di Connecticut, Utara Amerika berdepan detik cemas apabila seekor beruang hitam lapar menceroboh premis berkenaan dan menjamah 60 kek cawan.
Kejadian tersebut dirakam menerusi kamera litar tertutup di luar premis berkenaan memaparkan haiwan sebesar 1.21 meter itu terbabit memasuki kedai tersebut melalui garaj.
Rakaman video berdurasi 35 saat itu turut memaparkan beberapa orang pekerja kedai tersebut cuba menghalau haiwan berkenaan, namun gagal.
Pemilik kedai berkenaan, Miriam Stephens berkata, ketika kejadian berlaku, pekerja sedang memasukkan kek berkenaan ke dalam sebuah van untuk dihantar kepada pelanggan.
Katanya, setelah ternampak beruang tersebut, pekerja cuba menghalaunya, namun cubaan tersebut gagal dan haiwan berkenaan terus memasuki garaj itu.
"Beruang itu mengheret keluar sebuah kotak mengandungi kek cawan daripada garaj ke lot tempat letak kenderaan dan memakan 60 kek cawan.
"Bagaimanapun, seorang pekerja bakeri berjaya menghalaunya dengan membunyikan hon kereta," katanya.
Dalam pada itu, Miriam berkata, beruang tersebut meninggalkan kedai tersebut setelah pihak polis tiba di lokasi kejadian.
Katanya, tiada kecederaan dilaporkan sepanjang insiden tersebut berlaku. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram