[VIDEO] Ceroboh pertandingan tarian, aktivis NGO 'kena sapu' kren kamera ketika berkempen atas pentas


  • Benua
  • Selasa, 30 Mei 2023

Tangkap layar insiden kekecohan berlaku ketika pusingan akhir pertandingan tarian 'Strictly Come Dancing' sedang berlangsung di Sweeden pada Jumaat lalu.

KECOH apabila sebuah rancangan hiburan tarian 'Strictly Come Dancing' di Sweeden diserbu penunjuk perasaan semasa pusingan akhir sedang berlangsung pada Jumaat lalu.

Aktivis perubahan iklim dari kumpulan Persatuan 'Restore Wetlands' itu dirakam menyerbu ke pentas persembahan dengan membawa sepanduk ketika kejadian.

Insiden itu tercetus ketika atlet sukan ski Olimpik, Charlotte Kalla dan pasangannya Tobias Karlsson sedang membuat persembahan.

Pantas berlari ke arah pentas dan kamera, individu berkenaan membentangkan sepanduk kuning bertulis 'Pulihkan Tanah Lembab' sambil melemparkan cat serbuk kuning ke udara.

Namun, salah seorang daripadanya tercedera selepas berlanggar dengan kren kamera di pentas persembahan tersebut.

Salah seorang aktivis itu yang dikenali sebagai Tina Kronberg Berggren, 30, difahamkan pernah menyertai protes 'Pemberontakan Kepupusan' sebelum ini.

Menurutnya dalam satu kenyataan, dia amat menyukai tarian namun akibat perubahan iklim yang semakin mendesak, dia tidak boleh berdiam diri dan duduk sahaja di tempat penonton.

Kalla, atlet sukan ski dengan tiga pingat emas di Olimpik meraih pujian ramai kerana tidak membiarkan insiden itu menghalang persembahannya.

Dalam pada itu, Roxy Farhat, jurucakap 'Restore Wetlands' berkata, bantahan itu bertujuan untuk memberi peringatan terhadap bencana alam sekitar yang semakin hampir.

“Kita sedang menuju keruntuhan iklim dan ahli politik kita hanya memburukkan krisis yang berlaku tanpa sebarang tindakan. Kami adalah generasi terakhir yang berpeluang menghentikan isu kematian ini,” katanya.

Tambahnya, kumpulan itu akan melakukan protes yang lebih ekstrem kerana mereka telah melakukan rusuhan selama 30 tahun, tetapi ahli politik masih tidak mempedulikan mereka.

Susulan kejadian terbabit, polis difahamkan telah menyoal siasat ketiga-tiga individu berkenaan atas dakwaan vandalisme. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram