[VIDEO] Bekas penghulu maut, luncur udara terjunam ke dalam laut di Bachok


  • 112
  • Sabtu, 24 Jun 2023

Tangkap layar insiden lemas melibatkan dua warga emas yang bermain aktiviti sukan luncur udara (paramotor) di Pantai Irama, Bachok, Kelantan.

DUA lelaki warga emas melalui detik hitam apabila salah seorang daripada mereka dilaporkan maut selepas lemas di Pantai Irama, Bachok, Kelantan ketika bermain sukan luncur udara (paramotor) pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.41 petang itu, Mustaffa Isa, 62, yang merupakan bekas penghulu di Mukim Seribong, Kota Bharu, Kelantan maut selepas luncur udara dikemudi oleh rakannya yang berusia 77 tahun terjunam ke dalam laut.

Rakaman kejadian dikongsikan salah seorang saksi kejadian di laman Twitter dan tular sejak Sabtu.

Susulan insiden berkenaan, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bachok, Leftenan Mohd. Khairi Mat Hussin berkata, anggota APM mendapati dua lelaki sedang membuat penerbangan luncur udara berhampiran menara pantai tiba-tiba jatuh ke dalam laut.

Menurutnya, paramotor tersebut dilihat terjunam ke laut sebelum petugas Penyelamat Pantai APM bergegas cuba menyelamatkan mangsa.

"Salah seorang lelaki berada dalam keadaan terkapai-kapai di permukaan air sebelum diselamatkan anggota APM.

"Seorang lagi mangsa dilihat tenggelam di kawasan laut dan tidak memberi sebarang tindak balas. Jet ski milik orang awam di pantai itu telah membawa mangsa yang sudah tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd. Khairi menjelaskan, petugas Penyelamat Pantai APM dengan bantuan oleh orang awam melakukan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa yang tidak sedarkan diri manakala jurukemudi luncur udara itu diberikan bantuan pemulihan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamed Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram