Ghairah kongsi gambar peribadi punca mudah jadi sasaran 'scammer' raih untung atas angin


  • Massa
  • Rabu, 18 Jan 2023

Sang penyamar juga mampu memanipulasi muka mangsa menerusi penyuntingan video. — Gambar hiasan

KELINCAHAN seseorang ketika berkongsi maklumat, gambar mahupun video di media sosial adakalanya mengundang padah apabila ia mampu disalahguna oleh individu tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini, Majoriti melaporkan, seorang wanita dikenali Razziah H. Khan menjadi mangsa kepada individu yang mencuri gambarnya bagi mencari jodoh.

Perkongsian adik kepada usahawan wanita terkenal, Vie Shantie Khan itu memaparkan tangkap layar akaun Facebook palsu menggunakan gambarnya untuk mencari pasangan hidup.

Turut mengalami nasib lebih kurang sama adalah seorang wanita dari Sarawak, Jaquline Anak Desmond yang berkongsi bahawa, 'scammer' terbabit menggunakan nombor telefon miliknya.

Kongsi Jaquline, dia berdepan detik menakutkan apabila menerima mesej daripada beberapa lelaki tidak dikenali, namun bersyukur apabila gambarnya tidak tersebar.

template - 2023-01-18T210953.377

Akhbar Satar

Mengulas mengenai perkara itu, Datuk Seri Akhbar Satar memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlalu mendedahkan segala maklumat atau gambar di media sosial, khususnya Facebook, Instagram, TikTok, dan Twitter.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia itu berkata, sang penyamar yang dilihat sukar dikesan mampu memanipulasi maklumat dan gambar mangsa yang dicuri.

"Mereka (penyamar) juga memilih rupa paras mangsa yang menarik.

"Bukan itu sahaja, mereka juga mampu memanipulasi muka mangsa menerusi video. Ini juga pernah terjadi kepada ahli politik, yang mana muka lain dan badan lain ketika penyuntingan video," katanya kepada Majoriti.

template - 2023-01-18T212501.883

Gambar kiri memaparkan kes penyamaran yang pernah dialami seorang mangsa di laman Facebook, manakala gambar kanan memaparkan mesej diterima seorang lagi mangsa lain setelah nombor telefonnya disalahguna.

Selain bertujuan mendapatkan wang, Akhbar tidak menolak kemungkinan bahawa, sang penyamar menyalahgunakan gambar dan maklumat mangsa untuk mencari jodoh dan populariti dengan mengelirukan orang lain.

Pada masa sama, katanya, segelintir mangsa adakalanya menunjuk atau show off ketika dia sedang bercuti di luar negara kepada pengikutnya di media sosial.

"Tetapi, mangsa harus sedar dalam ramai pengikutnya tak semestinya semuanya asli. Kadang-kadang mangsa juga terlupa perkongsian itu membuka peluang kepada penjenayah untuk masuk ke dalam rumahnya.

"Buat orang ramai yang sudah menjadi mangsa penyamaran, gambar atau maklumat disalahgunakan, mereka disaran untuk membuat laporan polis dan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk menutup akaun palsu berkaitan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram