PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) seorang pelajar tahfiz berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang pada Rabu di kawasan kebun getah di Kampung Tanjong Sejarah, Kampung Tawai, Gerik, Ipoh, Perak melaungkan azan sebelum menemukan pelajar itu dalam keadaan selamat, pada pagi Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, Muhammad Naufal Adzimi Mohd Harris dijumpai pada pukul 10.49 pagi Sabtu, kira-kira dua kilometer dari lokasi motosikal yang ditinggalkan mangsa ditemukan.
"Pasukan SAR pada pagi Sabtu dipecahkan kepada lapan kumpulan yang disertai pelbagai agensi seperti JBPM, PDRM, PGA dan orang awam. Gerak kerja dimulakan dengan membuat laungan azan oleh Pegawai Operasi PKpgB Hasna Rashid.
"Lokasi berkenaan sebelum ini juga telah pun dibuat pencarian namun mungkin situasi mangsa yang bergerak menyebabkan dia tidak ditemukan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan lemah.
Terdahulu, operasi hari keempat diteruskan pada Sabtu dengan kekuatan anggota 94 orang termasuk polis, unit K9 bomba, Agensi Pertahanan Awam dan orang awam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram