[VIDEO] Sampai terbaring menangis, video budak sekolah rendah 'sunat laser' buli pelajar tersebar di Sarawak


  • Tular
  • Selasa, 20 Jun 2023

Tangkap layar seorang pelajar budak sekolah rendah dipukul beramai-ramai di Kota Samarahan baru-baru ini.

KES buli membabitkan pelajar sekolah dilihat semakin menjadi-jadi pada ketika ini. Bahkan apa yang menyedihkan, isu tersebut dilihat sudah menjadi norma baharu apabila kita sering disajikan dengan berita-berita membabitkan kejadian buli dalam kalangan pelajar.

Terbaharu, tular satu video membabitkan sekumpulan pelajar sekolah rendah membuli seorang budak lelaki di Kota Samarahan, Sarawak.

Menerusi rakaman klip video berdurasi 47 saat yang tersebar di Twitter @nanmanjoi8715 pada Selasa memaparkan seorang kanak-kanak lelaki memakai baju hijau dipukul dan ditendang berkali-kali oleh sekumpulan pelajar.

Mangsa terlebih dahulu dipukul oleh seorang budak berbaju oren sebelum rakan-rakannya mengambil giliran untuk membelasah budak malang itu.

Dia dilihat cuba melawan apabila dipukul oleh dua budak lain yang bertubuh lebih kecil serta memakai baju putih.

Namun apabila melihat mangsa mampu mempertahankan diri, budak lelaki berbaju oren tadi 'masuk gelanggang' untuk mempertahankan dua rakannya.

Mangsa terus terjatuh selepas dia ditendang dan ditumbuk bertubi-tubi oleh pelajar berkenaan.

Lebih menyakitkan hati, video itu turut dirakam oleh rakan si pembuli dan diperhatikan pelajar lain.

Turut kedengaran suara perakam mengeluarkan kata-kata kesat dan ketawa melihat mangsa yang dipukul.

Setakat berita ini ditulis tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian tersebut berlaku dan belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram