Padah Langkah Sheraton, Zuraida Kamaruddin diarah bayar RM10 juta


  • Politik
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Mahkamah Tinggi memutuskan PKR boleh menuntut RM10 juta daripada Zuraida Kamarudin kerana keluar parti selepas menggunakan nama dan logo parti ketika bertanding dalam PRU14.

MAHKAMAH Tinggi memutuskan Parti Keadilan Rakyat (PKR) boleh menuntut RM10 juta daripada bekas Naib Presidennya, Datuk Zuraida Kamarudin kerana keluar parti selepas menggunakan nama dan logo parti ketika bertanding dan menerima faedah atas kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Bekas Ahli Parlimen Ampang itu juga diarah membayar kos sebanyak RM50,000 kepada PKR.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir memutuskan demikian selepas mengesahkan bon yang ditandatangani Zuraida pada 25 April 2018 adalah satu kontrak yang mengikatnya, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

Syarat itu termasuk bersetuju untuk membayar sebanyak RM10 juta kepada parti selewat-lewatnya tujuh hari selepas berlakunya peristiwa seperti peletakan jawatan defendan daripada parti atau menyertai mana-mana parti politik lain, atau menjadi wakil rakyat bebas selepas defendan memenangi pilihan raya atas tiket PKR.

Jumlah itu merupakan nilai pampasan yang perlu dibayar oleh mereka yang keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan yang diterima daripada PKR sewaktu bertanding.

Mahkamah turut memutuskan dakwaan bekas Menteri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu bahawa jumlah RM10 juta tersebut 'tidak berperlembagaan' adalah tidak berasas.

Saifuddin Nasution telah menyaman Zuraida bagi pihak PKR pada 28 September 2020.

Semasa perbicaraan, hakim berkata, defendan sendiri telah mengakui bahawa plaintif (PKR) telah membelanjakan wang melebihi RM10 juta untuk pencalonannya semasa pilihan raya.

"Ini adalah pengakuan jelas di pihak defendan dan dia tidak boleh menarik balik," kata Akhtar pada Jumaat.

Menurut kenyataan tuntutan, Zuraida bersama 10 ahli Parlimen PKR lain, mengumumkan peletakan jawatannya daripada parti itu tanpa meletakkan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Ampang pada 24 Februari 2020.

Zuraida, bersama-sama ahli Parlimen lain, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Barisan Nasional (BN), PAS, Gabungan Parti Sarawak dan lain-lain kemudiannya membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

PKR melalui Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah memfailkan saman pada 2020 terhadap Zuraida, mendakwa dia telah melanggar kontrak dengan menyertai Bersatu dalam Langkah Sheraton pada akhir Februari 2020.

Bagaimanapun, Zuraida mendakwa bon itu 'tidak berperlembagaan' dan PKR tidak boleh melaksanakan syarat di bawah perjanjian tersebut kerana ia melanggar satu kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram