PENYANDANG Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin gugur di kawasan yang disandangnya sejak tiga penggal lalu.
Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu tewas di tangan calon Pakatan Harapan (PH), Rodziah Ismail dalam saingan sembilan penjuru.
Malah, bekas menteri Kabinet itu turut hilang deposit apabila hanya meraih 4,589 undi pada pilihan raya umum kali ini.
Pesta demokrasi di Parlimen Ampang menyaksikan Rodziah Ismail menewaskan lapan pencabar lagi selepas meraih majoriti 29,681 undi.
Selain Zuraida, calon lain yang hilang deposit adalah calon daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), (Parti Pejuang Tanah Air) (Pejuang), Parti Warisan dan tiga lagi calon bebas.
Mereka terdiri daripada Ivone Low Yi Wen (BN), Sasha Lyna Abdul Latif (PN), Dr Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang) dan tiga calon bebas.
Sementara itu, Datuk Seri Rina Harun tidak berjaya merampas Parlimen Sepang daripada PH yang menang dengan majoriti 8,949 undi.
Rodziah (dua kiri) merampas Parlimen Ampang daripada Zuraida (tiga kanan). — Bernama
PH diwakili Ketua Wanita Amanah, Aiman Athirah Sabu yang memperoleh 56,264 undi manakala Rina (47,315).
Selain Rina dan Aiman, lima lagi bersaing merebut kerusi Parlimen Sepang iaitu Anuar Basiran (BN) (31,097 undi), Che Asmah Ibrahim (Gerakan Tanah Air) (2,337) dan tiga calon Bebas – Daud Leong, Syahrul Amri Mat Sari dan M Muneswaran Muthiah.
Dalam pada itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu yang berdepan lapan penjuru bagi mempertahankan kerusi Parlimen Kota Raja pada PRU15 memenangi kerusi itu.
Mohamad atau dikenali Mat Sabu dicabar D. Kajendran (Barisan Nasional) (BN), Mohamed Diah Baharun (Perikatan Nasional) (PN), Fahmi Bazlan Muda (Gerakan Tanah Air) (GTA) dan Sarah Afiqah Zainol (Parti Rakyat Malaysia) (PSM).
Di Sabak Bernam, Datuk Seri Eizlan Yusof tewas dalam pertandingan empat penjuru menentang calon PN, Kalam Sahlan; Shamsul Ma’arif Ismail (PH) dan calon BN, Datuk Abd Rahman Bakri.
Pilihan raya kali ini menyaksikan Kalam menewaskan tiga pencabar lain selepas meraih majoriti 5,056 undi.
Di kerusi Parlimen Sungai Besar, calon 'bad boy' BN, Datuk Seri Jamal Md Yunos tidak dapat menyekat penguasaan PN di kawasan itu selepas tewas dalam saingan lima penjuru.
Jamal kalah kepada Muslimin Yahaya yang memenangi 19,791 undi. Calon PH, Saipolyazan M Yusop memperoleh 17,070. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram