Zuraida sign bon tanpa paksaan — Saifuddin


  • Primer
  • Rabu, 29 Mac 2023

Datuk Zuraida Kamaruddin telah menandatangani bon yang mengikatnya kepada parti, secara sukarela tanpa paksaan. — Awani

SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Rabu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa bekas naib presiden parti itu Datuk Zuraida Kamaruddin telah menandatangani bon yang mengikatnya kepada parti, secara sukarela tanpa paksaan.

Saifuddin, 59, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Zuraida juga mempunyai pengetahuan bahawa setiap calon yang dipilih untuk bertanding atas tiket parti berkenaan perlu menandatangani bon itu.

"Sebagai Setiausaha Agung parti, saya boleh mengesahkan bahawa defendan Zuraida tidak pernah menghantar apa-apa surat atau dokumen rasmi bagi membangkitkan bantahan atau pertikaian terhadap keabsahan ikatan bon itu, sama ada sebelum atau selepas pemilihannya sebagai ahli parlimen.

"Saya juga tidak menerima apa-apa surat daripada defendan yang mengadu bahawa beliau telah menandatangani ikatan bon tersebut di bawah paksaan," katanya ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes saman difailkan PKR terhadap Zuraida yang didakwa melanggar syarat bon berkenaan.

Saifuddin berkata, defendan yang memegang jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan ahli kepada Biro Politik parti telah menghadiri Mesyuarat Biro Politik di Ibu Pejabat PKR pada 17 April 2018.

Katanya, dalam mesyuarat itu, beliau telah memaklumkan Mesyuarat Biro Politik bahawa Pejabat Setiausaha Agung telah menyediakan 'Kit Calon' yang mengandungi antara lain ikatan bon yang perlu ditandatangani oleh semua calon sebelum mereka menerima watikah calon daripada PKR.

"Defendan telah menghadiri mesyuarat itu dan tentunya defendan mengambil maklum tentang keperluan untuk beliau menandatangani ikatan bon tersebut sekiranya ingin bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket parti tersebut.

Defendan juga tidak pernah membangkitkan bantahan terhadap keperluan untuk menandatangani bon. Sebaliknya, beliau telah mempersetujui keperluan untuk menetapkan terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam ikatan bon itu bagi mengawal tingkah laku setiap calon yang ingin bertanding dalam PRU14 atas tiket dan sokongan parti tersebut," kata Saifuddin.

Saifuddin yang merupakan saksi pertama PKR selaku plaintif berkata ikatan bon itu disediakan bagi memastikan defendan yang akan bertanding dalam PRU14 atas tiket PKR memahami dan mengakui bahawa parti itu telah menanggung perbelanjaan besar untuk mempromosikan nama PKR.

Selain itu, ia bagi memastikan beliau memahami dan mengakui bahawa pelantikannya sebagai calon dan kebenaran untuk mengguna pakai logo, lambang, simbol dan bendera parti, bernilai lebih daripada RM10 juta.

Bagaimanapun, Saifuddin berkata, Zuraida telah membuat keputusan untuk keluar parti pada 24 Februari 2020 selepas menang dalam PRU14 dan dipilih sebagai Ahli Parlimen Ampang.

"Tindakan sedemikian telah meletakkan defendan dalam keadaan di mana beliau berkewajipan untuk membayar pampasan berjumlah RM10 juta kepada parti, sebagaimana dipersetujui di antara defendan dan parti dalam ikatan bon tersebut," katanya dan menambah defendan perlu membayar pampasan itu pada 2 Mac 2020, tujuh hari selepas beliau keluar parti.

Sementara itu, Saifuddin berkata, tanpa kebenaran daripada PKR yang membenarkan defendan menggunakan jenama, nama baik dan sokongan daripada ahli serta penyokong parti, defendan tidak akan dipilih sebagai Ahli Parlimen Ampang dan kemudian dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang membolehkannya menikmati imbuhan lumayan.

Katanya, semua itu tidak diberikan secara percuma, sebaliknya Zuraida dijangka untuk membayar balik dengan menjalankan tugas sebagai seorang ahli parlimen dan menteri atas nama PKR bagi melaksanakan agenda parti.

"Berikutan pembelotan defendan, parti kehilangan kelebihan mempunyai seorang ahli parlimen di Dewan Rakyat dan seorang menteri di Jemaah Menteri. Sedangkan defendan yang enggan meletak jawatan terus menikmati faedah sebagai ahli parlimen dan menteri di bawah parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, adalah tidak adil untuk defendan kekal menikmati faedah berkenaan, yang tidak akan dinikmatinya jika bukan dengan perkhidmatan dan nama baik daripada PKR,” katanya yang memberi keterangan pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir.

Pernyataan tuntutan PKR yang difailkan pada 28 September 2020 mendakwa zuraida telah menandatangani bon itu yang mengikat dirinya untuk membayar sejumlah RM10 juta berdasarkan terma dan syarat bon berkenaan.

PKR mendakwa Zuraida telah bersetuju untuk membayar parti sejumlah RM10 juta selewat-lewatnya tujuh hari sekiranya berlaku beberapa perkara selepas memenangi pilihan raya atas tiketnya seperti meletak jawatan dalam parti atau bergabung dengan pihak lain atau menjadi wakil rakyat bebas.

Sementara itu, peguam Navpreet Singh yang mewakili PKR ketika dihubungi, mengesahkan Saifuddin telah selesai membaca dan menandatangani pernyataan saksinya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, saman, zuraida, pkr, saifuddin, RM10 juta, bon