SEORANG wanita kesakitan selama beberapa jam selepas kakinya tersepit pada pintu lif pengangkut barang dalam kejadian di sebuah bangunan yang bertempat di kawasan Jl. Kebon Kacang 12, Tanah Abang, Jakarta, Indonesia pada Sabtu.
Pada waktu kejadian, mangsa yang hanya dikenali sebagai Kamelia bersama rakan sekerjanya sedang menyapu lantai di tingkat dua sebelum menuju ke tingkat atas menggunakan lif berkenaan.
Difahamkan lif itu bergerak sendiri sebelum mangsa sempat menekan butang tutup. Kejadian itu menyebabkan kaki mangsa tersepit di celah antara lif dan dinding bangunan berkenaan.
Kejadian menimpa mangsa disedari orang awam yang sedang menunggu lif di aras bawah yang ternampak pergelangan kaki mangsa dalam keadaan tersepit pada bahagian atas celah pintu lif sebelum menghubungi pasukan penyelamat Rescue Damkar Jakarta Pusat.
Dalam kejadian tersebut, pasukan penyelamat menggunakan alatan khas untuk menyelamatkan mangsa yang patah tulang pada kakinya.
Mangsa dihantar ke hospital terdekat untuk mendapatkan rawatan lanjut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram