Usung pesakit turun gara-gara lif rosak di Hospital Melaka, exco perjelas situasi sebenar


  • Primer
  • Sabtu, 03 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan petugas kesihatan di Hospital Melaka mengusung pesakit menuruni tangga ekoran lif rosak pada Jumaat.

TULAR video memaparkan proses pemindahan pesakit menggunakan tangga di Hospital Melaka yang berlaku ekoran kerosakan luar jangka lif di Blok F hospital berkenaan pada Jumaat.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, kerosakan lif berkenaan menyebabkan akses ke beberapa wad di hospital berkenaan terhad, namun pemindahan pesakit ke wad lain perlu dilakukan.

"Video tular berkenaan memaparkan proses memindahkan pesakit yang berada di wad aras empat ke aras tiga dengan menggunakan tangga, kerana berlaku situasi luar jangka gangguan perkhidmatan lif di Blok F Hospital Melaka.

"Proses pemindahan pesakit melalui tangga perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit kritikal,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, proses pemindahan pesakit berkenaan dilakukan dengan pemantauan rapi daripada pihak perawat serta pengurusan wad, dan pesakit itu telah dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi.

Justeru katanya, semua pihak dipohon untuk tidak membuat spekulasi tidak berasas kerana ia boleh menimbulkan situasi panik dalam kalangan pesakit.

Dalam pada itu, Hee Sem berkata, Hospital Melaka sedang melaksanakan kerja-kerja menaik taraf lif di beberapa blok hospital berkenaan dan sepanjang tempoh itu, jumlah lif yang beroperasi telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian lif baharu.

Beliau berkata, kerja-kerja menaik taraf lif berkenaan terbahagi pada dua fasa iaitu antara Oktober tahun lalu hingga Julai depan bagi fasa satu, manakala fasa dua akan bermula pada Julai hingga Disember.

Sehingga Jumaat katanya, sebanyak dua lif yang rosak siap dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan daripada pihak Hospital Melaka.

Pada Jumaat, tular di media sosial video berdurasi seminit 32 saat, merekodkan seorang pesakit diusung turun menggunakan tangga, dipercayai berlaku di Hospital Melaka. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram