SEORANG pekerja penyelenggaraan maut selepas terjatuh dari tingkat empat ruangan lif di sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Lelaki berusia 33 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang ke lokasi ketika operasi menyelamatkan dijalankan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11 pagi.
Menurutnya, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu serta Hang Tuah dengan kekuatan 14 anggota dikejarkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, pasukan mendapati seorang lelaki dewasa berada di tingkat bawah ruangan lif pusat beli-belah berkenaan.
"Pegawai perubatan mengesahkan mangsa meninggal dunia dan maklumat daripada pihak penyelenggara, mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat empat semasa melakukan kerja penyelenggaraan lif," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan bomba menggunakan pengusung dan tali untuk mengeluarkan mangsa dari lubang lif berkenaan yang dianggarkan sedalam 1.8 meter.
Katanya, mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram