[VIDEO] Bau busuk di lapangan terbang, CCTV dedah punca wanita maut jatuh lif dua pintu selepas 4 hari


  • Benua
  • Isnin, 01 Mei 2023

Tangkap layar seorang wanita maut terjatuh dalam lif di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan, Indonesia baru-baru ini. — Agensi

TULAR satu video rakaman televisyen kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan seorang wanita maut terjatuh ke bawah lif di sebuah lapangan terbang di Indonesia seperti yang berlegar di media sosial baru-baru ini.

Lebih malang lagi, mayatnya hanya ditemui beberapa hari selepas kejadian.

Memetik laporan media antarabangsa detiknews.com, kejadian ngeri itu berlaku di salah sebuah bangunan di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan, Indonesia.

Menerusi rakaman video, kelihatan wanita malang berkenaan masuk ke dalam sebuah lif di lapangan terbang berkenaan.

Mangsa yang dikenali sebagai Aisiah Sinta Dewi Hasibuan tidak menyedari lif tersebut mempunyai dua pintu yang berbeza.

Apabila salah satu daripada pintu lif di depannya tidak terbuka, Aisiah panik dan cuba untuk membuka pintu tersebut secara paksaan.

Dia turut dilihat cuba menghubungi seseorang melalui telefon bimbitnya sebelum cuba membuka lif tersebut.

Mangsa kemudiannya bertindak cuba keluar daripada pintu lif berkenaan namun gagal selepas dia terjatuh ke dalam lubang lif tersebut.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat Angkasa Pura Aviasi, Dedi Al Subur berkata, mangsa yang berusia 38 tahun terjatuh daripada tingkat dua bangunan berkenaan.

"Mangsa dilaporkan hilang sejak 24 April lalu dan mayatnya ditemui pada 27 April setelah kakitangan lapangan terbang tercium bau busuk di aras satu bangunan berkenaan.

"Daripada rakaman CCTV itu, kita boleh melihat pintu lif di belakang Aisiah terbuka namun dia tidak sedar dengan keadaan itu sekali gus membuatnya panik.

"Mangsa juga dilihat menekan butang lif berkenaan beberapa kali sambil menghubungi seseorang," katanya.

Dedi turut menjelaskan pintu lif berkenaan juga tidak seharusnya dibuka secara paksa kerana boleh mengakibatkan kejadian yang tidak diingini berlaku. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram