[VIDEO] Malang berganda, pesakit tenat tersepit pintu lif rosak ketika diusung jururawat


  • Benua
  • Rabu, 19 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan situasi cemas berlaku di hadapan pintu lif apabila seorang pesakit tersepit ketika diusung jururawat di sebuah hospital di India.

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Peribahasa itu sesuai digambarkan menerusi kejadian yang menimpa seorang pesakit apabila nyaris maut tersepit pintu lif di New Delhi, India baru-baru ini.

Insiden itu yang dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan separuh daripada badan pesakit berkenaan tersepit dalam sebuah lif ketika diusung dua jururawat di sebuah hospital.

Tragedi itu dikatakan berpunca daripada masalah teknikal yang terjadi pada lif terbabit apabila pintu mula tertutup dan bergerak turun secara tiba-tiba.

Seorang lagi jururawat turut terperangkap di dalam lif tersebut bersama pesakit berkenaan dan kejadian itu disaksikan oleh seorang lagi kakitangan yang berada di luar lif tersebut.

Menerusi video berkenaan, pesakit yang difahamkan tidak sedarkan diri itu terlebih dahulu diusung masuk ke dalam lif sebelum separuh daripada badannya tersepit di pintu lif.

Cemas dengan insiden berlaku, jururawat berkenaan terpaksa melepaskan pesakit terbabit dan seorang wanita dipercayai ahli keluarganya dilihat panik lalu mendapatkan bantuan.

Namun, difahamkan tiada sebarang kecederaan serius berlaku dalam tragedi terbabit dan pesakit dikatakan masih berada dalam keadaan stabil. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram