TINDAKAN seorang penghantar makanan menegur dua lelaki warganegara Singapura yang mengisi minyak menggunakan tong dipercayai menjadi punca mencetuskan pergaduhan di sebuah stesen minyak di sekitar Iskandar Puteri, Johor.
Insiden mengenai kejadian itu tular sejak Selasa yang menyaksikan kedua-dua lelaki terbabit kelihatan berang dan cuba menyerang penghantar makanan berkenaan.
Klip berdurasi satu minit 14 saat tersebut turut memaparkan kehadiran dua anggota polis bantuan yang cuba untuk menenangkan keadaan.
Menerusi video tersebut, salah seorang lelaki itu turut bertindak mengambil alat yang dilihat seperti pengunci stereng daripada kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaikinya dan dipercayai cuba untuk membuat ancaman terhadap penghantar makanan terbabit.
— MYNEWSHUB (@mynewshub) June 21, 2023
Cubaan untuk melakukan provokasi secara fizikal oleh kedua-dua lelaki tersebut berjaya dihalang oleh anggota polis bantuan tersebut.
Setakat laporan ini ditulis, pihak berkuasa masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram