SIKAP prihatin rakyat Malaysia terhadap golongan susah sering kali disalah guna oleh segelintir pihak terutamanya warga asing untuk meminta sedekah meskipun mereka sebenarnya cukup sihat untuk bekerja.
Tular satu video memaparkan satu pasangan dipercayai warga asing datang ke sebuah kedai makan untuk meminta sedekah kepada pelanggan di premis tersebut.
Namun menerusi rakaman berkenaan, pelanggan-pelanggan berkenaan dipercayai tidak menghulurkan wang kepada pasangan berkenaan.
Difahamkan menurut perakam video tersebut, mereka pernah datang ke kedai berkenaan beberapa kali untuk meminta sedekah, namun ia tidak membuahkan sebarang hasil.
Setelah gagal meminta wang daripada pelanggan-pelanggan di kedai berkenaan, mereka bertindak menolak kerusi di premis tersebut seolah-olah menyatakan rasa protes sebelum meninggalkan tempat berkenaan.
Setakat ini, lokasi kedai makan berkenaan masih tidak diketahui.
Menjengah ke ruangan komen, warganet turut meluahkan tidak puas hati terhadap segelintir warga asing yang mengambil kesempatan atas kebaikan rakyat Malaysia.
"Yang silapnya orang kita bagi sedekah tidak kena tempat. Segar tubuh badan minta sedekah, duit baik masuk dalam tabung masjid. Bagi pendapat sayalah," kata @rosilawatinawi.
"Puak ini ramai di Kuala Lumpur macam ini tapi tiada siapa ambil tindakan, pendapatan sehari mereka lagi 'masyuk' daripada kita yang bekerja ini," kata @catriana84.
Sementara itu, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram