Bukan setakat lebar, dalamkan Sungai Klang, penduduk Padang Jawa harap tebing dinaikkan elak air melimpah


  • Massa
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Kerja melebar dan mendalamkan Sungai Klang giat dijalankan oleh kontraktor. — Agensi

TRAGEDI banjir pada Disember 2021 yang melanda Selangor masih berlegar-legar dalam kehidupan masyarakat meskipun peristiwa tersebut sudah berlalu sejak dua tahun lepas.

Selain daripada kerosakan harta benda dan hilang tempat tinggal, banyak keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden terbabit.

Di Selangor, antara tempat yang dilanda banjir besar ialah beberapa tempat di Hulu Langat, Taman Sri Muda di Seksyen 25 dan Padang Jawa di Shah Alam.

Selepas dua tahun banjir tersebut melanda, penulis turun semula ke Padang Jawa, Shah Alam, Selangor untuk bertanyakan keadaan mereka selepas tragedi tersebut.

Mereka memaklumkan hampir kesemua rumah di kawasan berkenaan ditenggelami air disebabkan hujan lebat berterusan selama dua hari pada pertengahan Disember dua tahun lalu.

IMG_20230616_111515_435

Salah seorang penduduk menunjukkan ketinggian paras air ketika banjir pada Disember 2021 setinggi lebih kurang semeter.

Walaupun sebahagian mereka bernasib baik kerana mendapat bantuan kewangan daripada kedua-dua kerajaan Persekutuan dan negeri Selangor untuk mengurangkan beban kerugian, namun ada antara mereka terpaksa menggunakan wang sendiri bagi membaiki kerosakan harta benda seperti perabot rumah dan kereta.

Kini hidup mereka terus berjalan seperti biasa meskipun masih dibayangi tragedi tersebut, namun kegusaran itu kembali muncul apabila negara kini berdepan masalah ketidaktentuan cuaca.

Ada masanya panas sehingga berhari-hari, namun bila hujan, pasti akan turun selebat-lebatnya sehingga mengakibatkan paras air kembali meningkat.

Penulis ada bertanya kepada penduduk berkenaan perkara tersebut, dan mereka tidak menafikan kawasan kediaman mereka masih dinaiki air walaupun tidak tinggi.

Namun terima kasih kepada kolam takungan yang dibina dalam kawasan penduduk dan kunci air yang berfungsi lebih baik, banjir yang melanda tidak berlaku dalam tempoh lama dan surut dengan cepat.

IMG_20230616_121106_690

Kolam takungan di Kampung Padang Jawa, Shah Alam kini boleh mengurangkan masalah banjir yang melanda kawasan tersebut.

Walaupun berpuas hati dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, penduduk di Padang Jawa masih mengharapkan sesuatu yang lebih baik bagi menghindarkan banjir melanda kawasan berkenaan memandangkan lokasi mereka agak rendah.

Penulis ketika mendengar beberapa cadangan penduduk untuk menambah baik pengurusan banjir di kawasan tersebut terus berasa bagai lagak-lagak Yang Berhormat (YB) kawasan pula, maklumlah demam Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin hampir.

Kalau penulis jadi YB di kawasan itu, lebih baik kerja-kerja mendalamkan Sungai Klang dapat yang kedudukannya agak dekat dengan kawasan penduduk, dapat disegerakan kerana ada sebahagian mereka mendakwa banyak mendapan tanah dalam sungai tersebut.

Selain itu, mereka juga meminta agar pihak berkaitan agar menaikkan atau meninggikan sedikit tebing sungai tersebut supaya air tidak melimpah keluar jika ia mencapai paras maksimum.

Tidak dinafikan penduduk menyifatkan pengurusan banjir di Padang Jawa sudah semakin baik, tapi tidak salahnya kalau ditambah baik lagi untuk kesenangan hidup masyarakat di Padang Jawa, Shah Alam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram