Sibuk dengan persiapan konsert, Faizal Tahir tidak abaikan 'anak syurga'


  • Hiburan
  • Sabtu, 17 Jun 2023

Walaupun sibuk dengan persiapan konsert (kiri), Faizal Tahir tetap memberikan yang terbaik untuk anak, Maryam (gambar kanan) dengan menghantarnya ke pusat rehalibilitasi. — Instagram/@faizal_tahir

MESKIPUN sibuk dengan persiapan menjelang konsert 'Aku Faizal Tahir Live in Kuala Lumpur' pada September depan, Faizal Tahir tidak mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga anak, Maryam Tahirah yang menghidap penyakit sindrom Down.

Beliau berkata, perkembangan anak ketujuhnya itu semakin baik selepas menghantarnya ke sebuah pusat rehabilitasi di Setia Alam, Shah Alam, Selangor untuk mendapat penjagaan lebih rapi.

Penyanyi lagu Santai itu berkata, walaupun ibu bapa yang mengalami nasib sama sepertinya perlu menerima hakikat keadaan anak yang berbeza daripada orang lain, namun ia perlu disusuli dengan langkah terbaik untuk anak syurga itu.

"Kebanyakan ibu bapa bila anaknya begitu, biasanya mereka akan mengatakan itu anak syurga dan menerimanya dengan reda.

"Tapi perlu ada usaha untuk pastikan anak tersebut dapat kehidupan dalam keadaan terbaik," katanya kepada pemberita selepas sesi rakaman Suria FM di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, Faizal Tahir atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir turut menasihatkan para ibu bapa yang berdepan keadaan serupa dengannya supaya mempunyai sistem sokongan yang baik, selain reda dengan ketentuan Ilahi.

Katanya, mungkin orang ramai melihat keadaannya baik-baik sahaja, namun di sebalik semua itu, ada pihak-pihak yang sentiasa bertolak ansur dengannya bagi memudahkan urusan sehariannya.

"Selain pihak syarikat rakaman, isteri, keluarga dan kawan-kawan juga memberi kata-kata semangat kerana bila nampak Faizal Tahir okey, bukan daripada saya, mungkin sedikit daripada saya tapi selebihnya daripada sistem sokongan saya.

"Saya tahu kalau Tuhan berikan satu perkara, ia adalah satu kebaikan buat kita sebenarnya, kalau kita lihat secara positif, positiflah ia," katanya.

IMG_20230615_161917_2

Faizal Tahir ketika ditemu bual pemberita selepas sesi rakaman Suria FM di Menara Star.

Dalam perkembangan lain, Faizal Tahir turut mengulas tentang persiapan terkini menjelang konsert solo pertamanya selepas 17 tahun dalam industri muzik tanah air.

Katanya, kini beliau sedang sibuk dengan rutin kecerdasan, di samping penyusunan lagu untuk konsert di ibu kota itu.

Tambahnya, tahun ini merupakan tahun yang sesuai untuk belia menganjurkan konsert tersebut selepas melalui pelbagai kekangan dan halangan sebelum ini.

Faizal Tahir turut memberi bayangan untuk menyanyikan lagu terbaharunya pada konsert berkenaan, namun tidak memaklumkan genre karya tersebut.

"Memang saya akan nyanyikan lagu baharu, sama ada pada hari berkenaan atau beberapa hari sebelum persembahan, masih belum pasti.

"Kalau boleh biarlah lagu itu orang dan dengar. (Genre lagu) itu kita akan tengok," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram