Kereta harga 'rahmah' RM22,000 curi tumpuan, bekas menteri tegur jangan abai ciri keselamatan walaupun murah


  • Primer
  • Ahad, 18 Jun 2023

Kereta Axia E dilancarkan pada Khamis dikatakan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan walaupun dijual pada harga berpatutan.

WALAUPUN berjaya menghasilkan kereta pada harga mampu milik serendah RM22,000, ia tetap perlu dilengkapi ciri-ciri keselamatan seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) atau Anti-Lock Braking System dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) untuk keselamatan pengguna dan orang ramai.

Bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, syarikat pengeluar kereta, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) yang mengeluarkan kereta Axia E tidak sepatutnya berkompromi tentang isu keselamatan pemandu, penumpang dan pengguna jalan raya lain demi menghasilkan kenderaan pada harga mesra poket.

Menurutnya, spesifikasi keselamatan berkenaan tidak boleh diketepikan walaupun beliau menyedari ramai orang bergelut dengan masalah kewangan.

"Kajian sebelum ini menunjukkan ESC dan teknologi antigelincir lain bagi kenderaan boleh menghalang kira-kira 40 peratus kematian dan pelanggaran daripada kemalangan akibat hilang kawalan.

"Sejak berdekad, ABS dan ESC terbukti sebagai teknologi penting; yang dapat mengurangkan kemalangan. Semakin hari, kos untuk ciri ini juga berkurangan.

"Ingatlah bahawa kenderaan yang tidak selamat bukan sahaja membahayakan pemandu tetapi juga kepada pengguna jalan raya yang lain," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

1F88AF1B-B98B-4F44-B5FE-389BF5A6DA4F

Wee Ka Siong.

Dalam pada itu, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam itu meminta agar syarikat berkenaan melihat semula model terbaharu yang didatangkan tanpa ciri keselamatan, selain ketiadaan central lock untuk mengunci keempat-empat pintu kenderaan secara automatik.

Beliau yang juga merupakan Presiden MCA turut menyuarakan kebimbangan akan kekurangan ciri keselamatan asas untuk kenderaan kos rendah di masa hadapan.

"Saya difahamkan bahawa spesifikasi Axia E adalah berdasarkan kelulusan yang diberikan di bawah NCAP pada tahun 2014. Tetapi zaman telah berlalu, dan kita mempunyai pengetahuan serta kepakaran yang lebih baik dalam bidang ini.

"Tidak mustahil pengilang akan menggunakan ini sebagai alasan untuk mengabaikan ciri-ciri keselamatan yang paling asas," katanya.

Pada Khamis, Perodua melancarkan kereta model Axia E yang dijual bermula pada harga RM22,000.

Menurut syarikat berkenaan, varian tersebut berasaskan Perodua Axia yang diperkenalkan pada 2017 dan diperakui dengan penarafan empat bintang Asean NCAP oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS).

Pengeluaran kereta pada harga berkenaan turut menjadi perbualan hangat oleh rakyat Malaysia yang menyifatkan kenderaan tersebut sebagai mampu milik selain dijual pada 'harga rahmah'. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram