[VIDEO] Kes wanita mengaku pegawai kanan, polis buka 2 kertas siasatan 


  • 112
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Tangkap layar video tular yang memaparkan wanita dipercayai mengaku sebagai pegawai kanan polis itu berang selepas diminta oleh anggota polis terbabit untuk menunjukkan kad kuasa sebagai bukti.

POLIS telah membuka dua kertas siasatan susulan kejadian tular melibatkan seorang penjawat awam wanita yang mengugut orang awam dan mempersenda pegawai rendah polis di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, seorang pengadu mendakwa dia telah didatangi suspek wanita itu dan bertindak memarahinya kerana membuat bising di rumah jiran.

"Kemudian suspek telah memperkenalkan diri sebagai penjawat awam dengan nada suara yang tinggi dan mengatakan ingin menahan pengadu atas alasan pengadu membuat bising dan mengugut hendak memukulnya, selain memarahi orang yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kejadian itu, Hussein berkata, wanita tersebut turut mempersenda pegawai rendah polis dan tidak memberikan kerjasama, untuk menunjukkan kad kuasa apabila diminta.

Susulan kejadian itu, katanya, polis membuka dua kertas siasatan iaitu laporan oleh pengadu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana ugutan jenayah dan laporan oleh pegawai rendah polis berkenaan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, atas sebab menghalang tugas penjawat awam dan menggunakan perkataan kurang sopan serta menghina.

Hasil pemeriksaan lanjut katanya, didapati terdapat dua buah video tular di media sosial berhubung kejadian tersebut dan bertindak atas maklumat, suspek kemudian dikenal pasti dan telah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan lanjut.

"Polis ingin menasihati masyarakat agar tidak terus menularkan video tersebut dan memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam serta mengganggu proses siasatan,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram