Mayat wanita ditemui tanpa kepala tergantung pada ranting di Papar


  • 112
  • Khamis, 15 Jun 2023

Pihak bomba membawa turun mayat tanpa kepala yang tergantung pada ranting pokok di sungai berhampiran di Kampung Sapat, Papar, Sabah. — Bomba

PENDUDUK di Kampung Sapat, Papar, Sabah digemparkan dengan penemuan mayat seorang wanita tanpa kepala dan kedua belah tangan pada Khamis.

Lebih memilukan, jasad tersebut ditemukan dalam keadaan tersangkut pada ranting pokok kayu di tepi sungai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi yang memaklumkan tentang penemuan mayat wanita berkenaan.

"Hasil pemeriksaan mendapati mayat itu adalah seorang wanita yang dalam keadaan tidak berbaju,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Kamaruddin memaklumkan mayat yang berada dalam lingkugan 30 hingga 40 tahun itu hanya mempunyai kaki kanan dari paha hingga ke lutut.

Katanya, setakat ini punca kematian mangsa yang dikatakan meninggal seminggu lalu belum dikenal pasti dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Orang ramai diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar jika ada ahli keluarga, jiran atau rakan yang hilang atau tidak balik ke rumah untuk tujuan pengecaman mayat berkenaan.

“Mayat telah dibawa ke Hospital Papar untuk tindakan lanjut dan sekiranya ada maklumat berkaitan waris mayat ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes Sarjan Mustifin Wahid di talian 0142030071," katanya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram