TIMBUL dakwaan seorang lelaki dipercayai rakyat China, namun mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia tanpa perlu melalui prosedur rumit.
Pada Khamis, seorang pengguna Facebook dengan nama Shafie Shafie mendedahkan terjumpa dengan seorang lelaki dipercayai warga China yang bukan saja mempunyai kad pengenalan, malah lesen memandu di Malaysia.
Dia menerusi satu hantaran di Facebook membongkarkan identiti individu terbabit yang dipercayai tidak mampu menjawab pertanyaannya dalam Bahasa Melayu.
"Ingatkan bisu, rupanya hanya tahu berbahasa Cina kerana baru 10 bulan sampai Malaysia dah jadi warganegara," dakwanya dalam hantaran tersebut.
Dalam pada itu, Shafie Shafie mendakwa beberapa pegawai daripada agensi berkaitan dicekup polis kerana didakwa terlibat dalam pengeluaran dokumen palsu yang sah.
Dia turut mempersoalkan bagaimana individu terbabit boleh mendapat dokumen kewarganegaraan yang sah tanpa melalui prosedur sepatutnya.
Dalam perkembangan lain, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan dua orang pegawai jabatan itu ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu kerana disyaki terlibat dalam kegiatan sindiket pengeluaran sijil lahir dan MyKid.
Ketua Pengarahnya, Zamri Misman berkata, penahanan tersebut hasil kerjasama strategik apabila JPN berkongsi hasil risikan dalaman dilakukan kepada SPRM.
Katanya, jabatan tersebut akan terus memberikan kerjasama kepada SPRM bagi melengkapkan siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram