[VIDEO] Nahas SUKE: Belum ada tangkapan selepas 48 jam, rakaman CCTV dihantar ke makmal forensik


  • 112
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Keadaan motosikal milik mangsa selepas tercampak jatuh daripada 'flyover' di susur keluar Lebuhraya SUKE menghala ke Lebuhraya MRR2. — Telegram/Info Semasa Official

RAKAMAN kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kejadian kemalangan melibatkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Rabu, telah diteliti dan dihantar ke makmal forensik untuk dianalisis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, setakat ini, tiada tangkapan dilakukan pihaknya berhubung kes itu.

"Bedah siasat terhadap mangsa telah selesai dijalankan di Hospital Ampang semalam (15 Jun) dan sebab kematian ialah kecederaan yang pelbagai akibat kemalangan jalan raya. Jenazah mangsa telah diserahkan kepada waris, pada hari yang sama selesai bedah siasat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dalam kejadian tengah hari Rabu, mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat lebuh raya berkenaan dengan ketinggian 30 meter, akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Ducati Panigale, maut di lokasi kejadian dan rakaman CCTV kejadian berkenaan tular menerusi media sosial sejak kelmarin.

Mohd Azam meminta saksi kejadian, untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram