[VIDEO] Jalan utama ke Felda Selancar runtuh, 3 ibu mengandung dibawa keluar dengan helikopter


  • Primer
  • Khamis, 02 Mac 2023

Usaha membawa keluar tiga ibu mengandung itu dilakukan menerusi penerbangan ihsan oleh TUDM.—Facebook/NorAzimiYunus

TIGA ibu mengandung berisiko tinggi yang berada dalam fasa pertama kelahiran dan terputus hubungan ekoran jalan runtuh di Felda Selancar, Rompin, Pahang berjaya dibawa keluar menerusi penerbangan ihsan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mereka kini menerima rawatan di dewan bersalin Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) setelah dibawa dengan ambulans ke hospital itu pada jam 8.33 malam Rabu selepas mendarat di lapangan terbang TUDM, di Kuantan, Pahang.

"Penerbangan ihsan digerakkan selepas Pejabat Kesihatan Daerah Rompin menerima makluman daripada Klinik Kesihatan Perwira Jaya pada pukul 10.30 pagi berhubung keadaan ibu mengandung tersebut.

"Satu pasukan Obstetric Retrieval dari HTAA yang terdiri daripada seorang pegawai perubatan obstetrik dan jururawat kesihatan telah diterbangkan ke Felda Selancar pada pukul 4.51 petang menggunakan helikopter TUDM," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata pasukan itu tiba di lokasi pada pukul 6.15 petang dan ketiga-tiga pesakit telah diperiksa serta didapati stabil sebelum dibawa keluar.

Susuan daripada itu, Dr Noor Hisham mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk TUDM, Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Rompin dan Kerajaan Negeri Pahang yang membantu melancarkan misi menyelamat tersebut.

Jalan utama ke Felda Selancar runtuh sekitar pukul 4 pagi Rabu akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat berterusan sejak Selasa menyebabkan ia ditutup kepada semua kenderaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melawat lokasi kejadian petang Rabu, mengumumkan pembinaan sebuah jambatan bailey yang akan dilakukan segera untuk kemudahan penduduk sementara menanti jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram