WALAUPUN sudah dua tahun peristiwa banjir besar melanda Selangor, trauma dalam kalangan mangsa banjir khususnya di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor masih belum pulih.
Tinjauan Majoriti di kawasan berkenaan mendapati walaupun kehidupan penduduk berjalan seperti biasa, namun terdapat beberapa rumah mempunyai bekas air banjir pada dinding rumah yang tidak dibersihkan.
Salah seorang penduduk, Masripah Ibrahim, 57, memaklumkan salah sebuah kereta milik keluarganya baru sahaja keluar daripada bengkel kerana rosak ditenggelami banjir dua tahun lalu.
Dia yang juga menjual produk-produk indusri kecil dan sederhana (IKS) berkata, banjir tempoh hari turut merosakkan peralatan niaganya seperti peti sejuk, almari dan sebagainya.
"Memang masih takut setiap kali hujan turun. Sekarang barang saya semua beroda, malah kebanyakan penduduk di sini tidak lagi membeli almari kerana takut terapung dan hanyut ketika banjir.
"Saya juga memasang rak pada dinding dan beli rak terbuka yang lebih tinggi, jadi barang-barang tidak terkena air banjir," katanya kepada Majoriti pada Jumaat.
Kedai milik Masripah ditenggelami air setinggi hampir semeter semasa banjir pada Disember 2021.
Penduduk lain, Shahrin Md Yunus, 72, berkata, rumahnya ditenggelami air pada ketinggian lebih semeter semasa kejadian itu berlaku pada Disember dua tahun lalu.
Walaupun rumahnya masih dimasuki air hingga ke saat ini sekiranya banjir melanda, namun ketinggiannya hanya pada paras buku lali.
"Banjir sekarang ikut musim, cumanya sekarang kalau banjir pun setakat paras buku lali," katanya yang juga penduduk asal di Padang Jawa, Shah Alam.
Penduduk lain yang ingin dikenali sebagai Pak Yan mengakui masih trauma dengan peristiwa banjir yang menenggalamkan rumah serta barang-barang di dalamnya.
"Jangan cakap pasal banjir, saya masih fobia. Saya tak boleh," katanya enggan mengulas lanjut tentang kejadian berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram