[VIDEO] Geng penyamun guna mesin pemotong untuk pecahkan tabung masjid di P. Pinang


  • Tular
  • Khamis, 15 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan suspek dipercayai sedang memotong mangga pada tabung milik sebuah masjid di Pulau Pinang pada Sabtu.

LAGI kes kecurian di rumah ibadat, dua individu dipercayai menggunakan mesin pemotong untuk membuka tabung di sebuah masjid di Pulau Pinang.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2 pagi pada Sabtu itu dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan dua individu terbabit memakai pelitup muka sebelum melaksanakan jenayah tersebut.

Video berdurasi dua minit itu kemudiannya menunjukkan percikan api daripada tabung tersebut dipercayai akibat kerja memotong rantai atau mangga tabung tersebut oleh suspek sebelum ia berjaya dibuka.

Kedua-dua mereka kemudiannya mengambil wang daripada tabung masjid berkenaan untuk diisi dalam beg yang dibawa suspek.

Video kejadian tersebut tular di media sosial sejak Rabu dan mendapat reaksi warganet yang meminta agar pihak masjid melakukan kutipan wang sumbangan yang disimpan dalam tabung itu dikeluarkan lebih kerap, selain mengetatkan sistem keselamatan di masjid tersebut.

"Bolehlah suruh siapa yang bertanggungjawab kutip duit tabung itu. Hendaklah tiap-tiap malam ambil duit itu," kata @mohdzakibinmat.

"Senang betul (tabung dipecahkan), kena upgrade lagi. Kalau (guna) peti besi yang ada password lagi selamat," kata @cilikampong.

Sementara itu, masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak polis berkenaan kejadian tersebut setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram