SEORANG guru maut akibat tersepit dalam kereta selepas terlibat dalam nahas dua buah kenderaan di Jalan Temerloh-Mentakab, Temerloh, Pahang pada Rabu.
Mangsa, R Ganasan, 44, yang bertugas di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil(SJKT) Jerantut meninggal dunia di tempat kejadian.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria memberitahu, nahas melibatkan kereta jenis Perodua Viva yang dipandu mangsa dan sebuah lori balak tanpa muatan.
Menurutnya pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.39 pagi.
"Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dikerahkan ke tempat kejadian bersama dua jentera.
"Sampai di lokasi didapati benar berlaku kemalangan melibatkan lori balak tanpa muatan yang melanggar kereta terbabit.
"Terdapat seorang mangsa yang tersepit dalam kereta tersebut dan pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.
"Pemandu kereta Viva telah meninggal dunia di tempat kejadian dan disahkan oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar Zulfadli, anggota bomba membuat kerja kerja-kerja mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
Tambah beliau, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram