Kebakaran libat hampir 10 kontena bahan mudah terbakar di Pelabuhan Klang — Bomba


  • Tular
  • Rabu, 07 Jun 2023

10 buah kontena mengandungi bahan mudah terbakar (aerosol) terbakar di Northport, Pelabuhan Klang pada Rabu. — Bomba

BEBERAPA buah kontena mengandungi bahan mudah terbakar (aerosol) di Northport, Pelabuhan Klang dilaporkan mengalami kebakaran pada Rabu.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan orang awam pihak bomba masih lagi sedang berusaha untuk memadamkan kebakaran tersebut.

Menerusi rakaman video berdurasi 27 saat yang dikongsikan oleh orang awam, api juga dilihat masih lagi marak dengan kepulan asap hitam dapat dilihat dari jauh.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan kebakaran di lokasi kejadian melibatkan 10 buah kontena mengandungi bahan mudah terbakar (aerosol).

"Fire Break sedang dilakukan di lokasi melalui kaedah pemadaman dan mengasingkan kontena belum terbakar menggunakan stacker dan RTG.

"Anggaran kemusnahan 80 peratus dan tiada kemalangan jiwa berlaku. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.40 pagi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif, Northport (Malaysia) Bhd Datuk Azman Shah Mohd Yusof mengesahkan kejadian tersebut melalui satu kenyataan media.

"Northport (Malaysia) ingin memaklumkan ada satu kejadian kebakaran yang melibatkan beberapa kontena di Northport pada pagi ini (Rabu).

"Operasi menyelamat kebakaran daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Northport dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Klang kini sedang dikerahkan untuk memadamkan kebakaran dan keadaan kini terkawal," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya berharap orang ramai tidak menyebarkan spekulasi berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram