[VIDEO] Pemandu nampak kelibat misteri sebelum cermin kereta pecah dibaling batu di Cheras


  • Tular
  • Ahad, 11 Jun 2023

Keadaan cermin belakang kereta mangsa yang pecah selepas dibaling batu oleh individu tidak bertanggungjawab di sebuah kawasan berdekatan dengan pusat beli-belah di Cheras.

SEORANG pemandu berdepan detik cemas apabila cermin bahagian belakang penumpang keretanya pecah selepas dibaling batu oleh individu tidak bertanggungjawab di sebuah kawasan berdekatan dengan pusat beli-belah terkemuka di Cheras, Kuala lumpur.

Melalui perkongsian video yang dimuat naik oleh mangsa di TikTok @vyberliaw pada Ahad, kejadian itu berlaku pada pukul 12 tengah malam Sabtu.

Menurutnya, pada waktu kejadian, dia dan rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah dari pusat beli-belah di Cheras.

Persekitaran jalan raya pada waktu kejadian juga agak lengang dan hanya dilalui beberapa kenderaan.

Melalui video berdurasi 34 saat tersebut, mangsa dan rakannya berbual seperti biasa dalam kereta sebelum rakannya tadi yang duduk di bahagian penumpang menyedari kelibat seorang individu berada di tengah jalan membaling sesuatu ke arah kenderaan di depan mereka sebelum melarikan diri.

"I saw something (Saya nampak sesuatu)," katanya.

Tidak lama kemudian, kenderaan mangsa pula menjadi sasaran dibaling batu. Mangsa yang terkejut dengan keadaan tersebut terus memberhentikan kenderaannya dan melihat keadaan sekeliling.

Menurut mangsa, lelaki tersebut berjaya melarikan diri dan dia sudah membuat laporan di balai polis berdekatan.

Dia turut mengharapkan orang awam yang melalui kawasan tersebut agar sentiasa waspada agar tiada kejadian yang tidak diingini berlaku.

Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media daripada pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram