Pemandu MPV cedera parah terbabas rempuh pacuan 4 roda di Lebuhraya Plus


  • 112
  • Isnin, 12 Jun 2023

Pemandu terbabas dan melanggar kereta pacuan empat roda di KM 410.8 Lebuhraya Plus pada pagi Isnin. — Bomba

SEORANG pemandu cedera parah selepas melanggar sebuah kereta pacuan empat roda di KM 410.8 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) pada pagi Isnin.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.30 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, seramai lapan anggota berlainan pangkat tiba di lokasi pada pukul 8.48 pagi dan memulakan operasi menyelamat mangsa.

"Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan Toyota Avanza dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun dipercayai terbabas dan berpusing melanggar sebuah kereta jenis Toyota Hilux dinaiki seorang lelaki warga tempatan berumur 45 tahun.

Bomba (2)

Mangsa berjaya dikeluarkan oleh bomba menggunakan peralatan khas dan dikejarkan ke Hospital Slim River. — Bomba

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa pemandu Toyota Avanza tersepit di bahagian pemandu. Mangsa berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba pada pukul 8.53 pagi menggunakan peralatan khas dan mengalami cedera parah patah kaki kanan serta di bahagian kiri bahu," katanya dalam kenyataan pada Isnin

Dalam pada itu, Mohamadul Ehsan berkata, mangsa berkenaan dikenali sebagai Mohamad Azizul Azmi dikejarkan ke Hospital Slim River, Perak.

Manakala pemandu pacuan empat roda tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram