SYARIKAT bas persiaran, Holiday Century Travel & Tours Sdn Bhd menafikan dakwaan pemandu bas miliknya cuba lari daripada satu kemalangan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan berdekatan Nilai, Negeri Sembilan pada Sabtu.
Ia selepas tular satu video mendakwa pemandu bas persiaran syarikat itu melarikan diri susulan insiden berlanggar dengan sebuah motosikal di lebuh raya terbabit.
Pengarah Holiday Century Travel & Tours Sdn Bhd, Calvin Lai berkata, pihaknya mengambil maklum akan insiden tular itu dan sudah pun membuat laporan polis terhadap kejadian tersebut.
Katanya, pemandu bas berkenaan pada awalnya tidak menyedari berlakunya insiden itu sebelum dimaklumkan pengguna jalan raya lain mengenai kemalangan terbabit.
Bagaimanapun, katanya, pemandu bas tersebut memilih untuk berhenti di kawasan rehat terdekat di Senawang, Negeri Sembilan untuk membuat pemeriksaaan.
"Sebab pada waktu itu dalam bas ada penumpang, jadi kena berhenti tempat sesuai dan selamat untuk periksa.
"Selepas itu baru saya dapat makluman daripada pemandu pelancong maklumkan kepada saya ada kesan geseran calar dekat bas.
"Lepas itu saya segera pergi tempat lokasi untuk gantikan pemandu terbabit dan bawa dia untuk buat laporan," katanya kepada Majoriti.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan daripada pemandu bas terbabit ekoran insiden tersebut.
Katanya, siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan tidak perasan terdapat motosikal yang bergesel di bahagian sebelah tepinya sebelum terjatuh.
"Dia tak perasan, jadi dia pun teruskan perjalanan dan tak berhenti. Lepas itu salah seorang saksi mengekori bas dan maklumkan kepada pemandu itu dia dah bergesel dengan satu motosikal.
"Kemudian, dia ambil tindakan buat satu laporan di Ibu Pejabat Polis Alor Gajah, Melaka," katanya kepada Majoriti.
Menurut Abdul Malik, penunggang motosikal itu yang mengalami cedera ringan akibat kemalangan tersebut sudah menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram