Polis buru suspek langgar lari anggota polis di Butterworth


  • 112
  • Isnin, 24 Apr 2023

Anggota polis terbabit dalam insiden itu sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

SEORANG anggota polis cedera dan masih menerima rawatan di hospital selepas menjadi mangsa langgar lari di Jalan Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang, pada Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, dalam kejadian pukul 7.55 pagi itu, anggota dari Balai Polis Butterworth sedang dalam perjalanan dari arah Bagan Luar menghala ke Bagan Dalam semasa kejadian.

Katanya, mangsa yang ketika itu sedang melakukan pemantauan di kawasan terbabit dengan menunggang motosikal.

"Siasatan mendapati motosikal tidak diketahui nombor pendaftaran itu telah bergesel dengan motosikal ditunggang anggota polis hingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan.

“Penunggang motosikal tersebut telah melarikan diri.

“Anggota polis itu masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.

Siti Nor Salawati berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan penunggang motosikal berkenaan untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disisat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU di talian 04 575 9122,” ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram