SATU kejadian langgar lari dipercayai berlaku berdekatan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Terengganu membabitkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva.
Kejadian tersebut tular dalam satu video yang tersebar sejak Isnin memaparkan dua orang suspek ditahan orang ramai yang difahamkan berada di lokasi kejadian ketika insiden terbabit berlaku.
Dalam klip berdurasi satu minit 29 saat itu, pasangan suspek lelaki dan perempuan berkenaan dilihat melutut sambil disoal siasat oleh beberapa individu yang berada di sekelilingnya.
Seorang lelaki yang memakai topi keledar turut menengking pasangan tersebut dipercayai akibat terlalu marah dengan tindakan mereka cuba melarikan diri.
Dalam pada itu, orang ramai dilihat berada di kawasan tersebut menyaksikan insiden berkenaan dengan keadaan jalan sekitar didapati berada dalam keadaan agak sesak dengan kenderaan.
Berdasarkan video berkenaan, salah seorang suspek didengar memaklumkan bahawa mereka merupakan pelajar daripada sebuah universiti di Terengganu.
Menjengah ke ruangan komen, terdapat warganet mendakwa pasangan itu lari daripada pihak berkuasa agama yang membuat pemeriksaan di lokasi berdekatan.
Namun begitu, tidak dapat dipastikan jumlah kenderaan atau mangsa terlibat dalam insiden tersebut.
Pada masa sama, pihak polis juga dilihat masih belum berada di lokasi ketika video tersebut dirakam.
Bagaimanapun, berdasarkan klip berkenaan, orang ramai dilihat tidak melakukan sebarang kekasaran fizikal terhadap kedua-dua suspek.
Tiada kenyataan pihak berkuasa dikeluarkan berhubung kejadian itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram