Anak yatim piatu hidap penyakit jantung berlubang jual nasi lemak RM1.20 demi tampung kos rawatan


  • Tular
  • Ahad, 11 Jun 2023

Udin yang mengalami penyakit jantung berlubang menjual nasi lemak pada harga serendah RM1.20 bagi menampung kos rawatan berkala yang perlu dijalaninya. — Facebook

DUGAAN berat menimpa seorang anak yatim piatu di Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak yang mengalami penyakit jantung berlubang tidak mematahkan semangatnya untuk hidup secara berdikari.

Ini kerana di sebalik tahap kesihatan yang membataskan keupayaannya untuk bekerja, pemuda tersebut tetap mengagahkan diri mencari pendapatan dengan menjual nasi lemak secara kecil-kecilan bagi menampung kos rawatan berkala penyakit dihadapinya.

Kisah mengenai pemuda dikenali dengan nama Udin itu tular sejak Khamis menerusi perkongsian dibuat oleh laman Facebook, SELADANG PERAK.

"Seorang anak yatim piatu dan mengalami penyakit jantung berlubang tak mampu bekerja, tapi ada semangat ingin berdikari beliau berniaga kecil-kecilan menjual nasi lemak di waktu pagi berhampiran Pejabat Pertanian Kawasan Padang Rengas.

"Sesiapa yang melihat berilah bantuan membeli nasi lemak beliau yang berharga satu bungkus RM1.20 supaya dia dapat membuat bayaran susulan rawatan ke hospital Pulau Pinang setiap dua bulan bulan," tulis hantaran itu.

Dalam pada itu, rata-rata daripada warganet melahirkan rasa simpati mereka terhadap nasib dialami pemuda berkenaan dan turut mendoakan agar usahanya untuk mencari rezeki dipermudahkan.

Mereka turut berharap agar masyarakat setempat dapat tampil membantu menolong Udin dengan membeli jualan nasi lemaknya.

"Ya ALLAH, murahnya nasi lemak yang dijual. Moga dipermudahkan oleh ALLAH dia berniaga. Orang yang berada di sekitar situ, support la adik ni ya," tulis Radziah Halim.

"Harap adalah masjid atau surau yang secara mingguan menempah untuk tahlil ke atau apa sahaja majlis yang diadakan. Masjid dan surau banyak duit tabung," ujar Carry Cash.

Sementara, terdapat juga warganet berpandangan bahawa nasib dialami Udin itu seharusnya mendapat perhatian oleh beberapa pihak dilihat boleh membantu meringankan dugaan dihadapi pemuda itu.

"Masyarakat setempat, masjid, jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) boleh bantu adik ni untuk dapatkan bantuan dari Baitulmal atau pejabat zakat," ujar Normadiah Abdullah.

"Wakil rakyat boleh mainkan peranan. Adik ni boleh dapat bantuan," ujar Magnetica Parfum Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram