RM3 juta bantu 1,151 anak Johor kehilangan ibu bapa akibat Covid-19


  • Primer
  • Selasa, 21 Jun 2022

Johor mengeluarkan membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19.

SEBANYAK 1,151 anak Johor yang kematian ibu bapa akibat Covid-19 dibantu menerusi program Anak Johor Prihatin dengan peruntukan sebanyak RM3 juta sejak April lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Khairin-Nisa Ismail berkata daerah Johor Bahru merekodkan jumlah tertinggi dengan 432 orang, diikuti Kulai (117 orang) dan Muar (116 orang).

Ia diikuti Batu Pahat dengan 99 orang, Tangkak (92 orang), Kota Tinggi (92), Pontian (78), Segamat (69), Kluang (41) dan Mersing (15).

"Antara yang diberikan ialah bantuan wang tunai berjumlah RM100 sebulan kepada mereka sehingga tamat persekolahan. Terdapat juga bantuan tunai RM2,000 setahun kepada anak yatim piatu yang menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

"Turut diberikan bantuan simpanan pendidikan dan perlindungan insurans sehingga berumur 21 tahun khas untuk anak yatim piatu Covid-19,” katanya ketika menjawab soalan lisan pada mesyuarat kedua Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar, di Johor Bahru pada Selasa.

Khairin-Nisa (BN-Serom) berkata turut diberikan bantuan sokongan moral, khidmat kaunseling, program-program motivasi, majlis perjumpaan bersama pemimpin dan bakul makanan.

Beliau menjawab soalan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) serta Anuar Abd Manap (BN-Pemanis) mengenai peruntukan Anak Johor Prihatin dan mekanisme daripada kerajaan negeri bagi membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19.

Tambahnya, Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) yang melaksanakan Anak Johor Prihatin masih lagi menerima permohonan baharu.

"YPKDT masih lagi menerima permohonan baharu dan semakan serta siasatan sedang dilakukan bagi memastikan penerima bantuan adalah orang yang benar-benar layak untuk dibantu dan disantuni.

"Program ini merupakan program jangka panjang yang dilakukan bagi menyantuni anak-anak yatim

dan yatim piatu akibat Covid-19 menjaga kebajikan dan pendidikan masa depan hingga mereka berusia 21 tahun," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram