[VIDEO] Tak puas hati punca sebenar penunggang motor hempuk pemandu wanita dengan helmet di P.Pinang


  • 112
  • Sabtu, 10 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan polis menahan seorang lelaki yang bertindak memukul pemandu wanita menggunakan topi keledar dalam kejadian di Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Khamis.

POLIS menahan seorang lelaki yang bertindak memukul pemandu wanita menggunakan topi keledar dalam kejadian di Jalan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, suspek berusia 32 tahun yang merupakan penunggang motosikal itu ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan kes tersebut yang turut tular di media sosial.

"Siasatan awal mendapati lelaki itu tidak berpuas hati dengan wanita tersebut yang memandu kereta sehingga menyebabkan kemalangan dan telah mendorong suspek mencederakan wanita berkenaan dengan topi keledar.

"Lelaki itu direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya menerusi talian 04-8662222.

Sebelum ini, tular video berdurasi 14 saat memaparkan seorang penunggang motosikal bertindak kasar sebelum memukul pemandu wanita dengan topi keledar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kamarul Rizal berkata, pihaknya menyita enam motosikal dalam OP Samseng Jalanan yang dijalankan bermula 1 pagi di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

"Kesemua motosikal itu disita menurut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis turut mengeluarkan 133 saman kerana pelbagai kesalahan lalu lintas.

"Selain membendung samseng jalanan melibatkan mat rempit, operasi juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

"Operasi akan diteruskan setiap minggu bagi mencegah gejala mat rempit yang sering mengganggu ketenteraman awam," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram