Berlagak macam pandu kereta sendiri, penyelia kilang tunjal kepala perempuan di Jalan Tapah-Cameron Highlands dicekup polis di Serdang


  • 112
  • Selasa, 06 Jun 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki memukul kepala wanita yang gagal memotong barisan ketika menuruni Cameron Highlands di Jalan Tapah - Cameron Highlands pada Isnin.

GARA-GARA memukul kepala seorang wanita yang didakwa cuba memotong laluan kenderaan ketika menuruni Cameron Highlands, Pahang di Jalan Tapah - Cameron Highlands, seorang lelaki ditahan polis di Serdang, Selangor pada petang Selasa.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, Polis Daerah Tapah menerima satu laporan dibuat oleh seorang perempuan berumur 24 tahun di Balai Polis Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor kira-kira pukul 10 pagi pada Selasa.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada Isnin, pukul 5.33 petang semasa pengadu dalam perjalanan turun dari Cameron Highlands menuju ke Tapah bersama adik lelaki pengadu berumur 17 tahun.

Katanya, mereka hendak memotong sebuah kereta yang berada di depan, namun gagal berbuat demikian.

"Pemandu berkenaan menunjukkan isyarat lucah sehingga jalan mula menjadi sesak berhampiran dengan Pusat Peranginan Lata Iskandar, sebelum dia turun dari kenderaan dan mengetuk cermin kereta pengadu.

"Apabila pengadu membuka cermin, suspek memarahi pengadu serta secara tiba-tiba dan memukul kepala pengadu serta mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata, hasil semakan nombor pendaftaran kereta yang dinaiki oleh suspek didaftarkan di atas nama seorang perempuan beralamat di Tanjong Karang.

Katanya, usaha mengesan suspek berusia 29 tahun yang bekerja sebagai seorang penyelia kilang berjaya dibuat di sekitar daerah Serdang.

"Suspek akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah, Perak untuk siasatan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 323/506/509 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Selasa, Majoriti melaporkan tularnya sebuah video memaparkan seorang lelaki bertindak menunjal dahi seorang wanita yang didakwa cuba memotong laluan kenderaan ketika menuruni Cameron Highlands di Jalan Tapah - Cameron Highlands.

Kejadian tersebut dirakam oleh penumpang kereta yang dipandu wanita berkenaan dengan memaparkan seorang lelaki datang kepadanya dalam keadaan marah-marah dipercayai selepas cubaan memotong kenderaan tersebut gagal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

MENYUSUL...