MP pembangkang patut hadir ke Parlimen, bincang baik buruk dan penambahbaikan — Syed Saddiq


  • Primer
  • Selasa, 06 Jun 2023

Syed Saddiq berkata, Ahli Parlimen di meja pembangkang sering terlepas peluang untuk mengemukakan cadangan untuk tambah baik apa-apa dasar dan program kerajaan. — Bernama

AHLI-AHLI Parlimen di blok pembangkang sepatutnya hadir ke sidang Dewan Rakyat untuk membahaskan baik dan buruk, serta kesilapan yang boleh diperbaiki serta kebaikan yang boleh diteruskan oleh kerajaan menerusi perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihak pembangkang terlepas peluang untuk mengemukakan cadangan bagi menambah baik apa-apa dasar dan program kerajaan.

Menurutnya, beliau yang sebelum ini berada di meja pembangkang juga seorang yang lantang bersuara apabila berbicara soal sistem semak dan imbang dalam kerajaan.

Justeru, Presiden Muda itu berpendapat Parlimen merupakan platform yang terbaik untuk membahaskan baik dan buruk, serta kesilapan yang boleh diperbaiki dan kebaikan yang boleh diteruskan.

"Kerana itu saya agak janggal kerana jikalau Ahli Parlimen pembangkang ada pada hari ini, mereka boleh bahaskan perkara seperti kebaikan dan kesilapan yang boleh ditambah baik.

"Malangnya tiada seorang pun Ahli Parlimen daripada blok pembangkang berada di sini. Ini adalah pengajaran supaya Ahli Parlimen lain tidak mengulanginya lagi," katanya ketika mengulas tentang Laporan Ketua Audit Negara 2021 dalam Dewan Rakyat pada Selasa.

Mengulas lanjut tentang laporan berkenaan, Syed Saddiq mengutarakan beberapa cadangan penambahbaikan tentang program vaksinasi Covid-19 dan pencegahan penularan wabak berkenaan.

"Jangan kita gunakan kuasa kerajaan untuk melangkaui proses pembelian dan perolehan sedia ada, yang mana kalau kita lihat ada masalah daripada penggunaan katil dan ventilator di wad unit rawatan rapi (ICU).

"Walaupun duit dikeluarkan dan perbelanjaan dibuat, tetapi (manfaat) yang diterima jauh lebih sedikit dan ketidakcekapan ini ada implikasi yang agak buruk.

"Kita perlu pastikan bahawa garis panduan yang jelas dapat diperkenalkan supaya kesilapan lepas tidak berulang lagi, pada masa sama, kita boleh belajar daripada pengajaran lepas dan elakkan pada masa yang akan datang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram