Pelawak Singapura hina Malaysia, tragedi MH370, TPM serah siasatan kepada polis dan MCMC


  • Primer
  • Khamis, 08 Jun 2023

Ahmad Zahid (kanan) mengarahkan siasatan dibuat ke atas Jocelyn (kiri) berkenaan jenakanya yang menghina Malaysia dan tragedi MH370.

KONTROVERSI tentang pelawak solo wanita Singapura, Jocelyn Chia terus mendapat perhatian daripada ramai pihak yang tersinggung dengan jenaka berkenaan Malaysia dan tragedi MH370.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan menyerahkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak polis untuk menyiasat perbuatan wanita berkenaan.

"Kita serahkan kepada MCMC dan polis untuk menyiasat sebelum menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk langkah seterusnya," katanya kepada media selepas melawat Laman Media sempena Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh turut mengajak ahli-ahlinya untuk berarak ke Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia pada Jumaat untuk menyuarakan bantahan terhadap jenaka Jocelyn.

Katanya, hinaan tersebut tidak boleh diterima oleh pihaknya dan rakyat Malaysia amnya.

"Saya telah mengarahkan exco-exco untuk membuat laporan polis terhadapnya (Jocelyn) pada Khamis.

"Saya berharap kerajaan mengharamkan dia daripada menjejakkan kaki ke Malaysia," katanya.

Pada Rabu, tular video memaparkan Jocelyn membuat sketsa komedi berupa penghinaan terhadap negara Malaysia apabila beberapa kali membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan yang dimiliki antara kedua-dua negara terbabit.

Satu video berdurasi 1 minit 29 saat yang tular di media sosial memaparkan tindakan individu berkenaan dilihat sengaja mempersendakan Malaysia.

Antara isu yang dibangkitkan sebagai bahan jenaka dalam persembahan itu adalah berkenaan kemajuan ekonomi Malaysia yang dikatakan lebih rendah berbanding Singapura yang diiktiraf sebagai negara membangun di mata dunia.

Selain itu, Jocelyn turut memetik beberapa isu hangat berkaitan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang berlaku pada 2014. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram