'Melawak biarlah sopan', Pemuda Umno gesa Jocelyn Chia disenarai hitam masuk Malaysia


  • Massa
  • Jumaat, 09 Jun 2023

Dr Muhamad Akmal (kiri) menempelak kenyataan Jocelyn (kanan) yang menghasilkan jenaka menghina rakyat Malaysia dan tragedi MH370.

TINDAKAN pelawak komedi berdiri, Jocelyn Chia yang menghina rakyat Malaysia dan tragedi MH370 masih terasa pedih sehingga ke hari ini.

Oleh itu, Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh bertindak menghantar memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan U Thant, Kuala Lumpur pada Jumaat supaya wanita berkenaan dikenakan tindakan sewajarnya.

Katanya, kenyataan yang dibuat oleh Jocelyn dianggap tidak sensitif terhadap keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.

"Kalau nak buat lawak pastikan ia berdasarkan fakta dan sensitif terhadap sesuatu topik kerana ia boleh melukakan perasaan orang lain.

"Buat jenaka secara sopan," katanya kepada media sebelum menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan U-Thant, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Seramai 100 anggota Pemuda Umno dan MCA turut menyertai demonstrasi aman yang diadakan di hadapan bangunan berkenaan.

Dr Muhamad Akmal berkata, memorandum tersebut dihantar sebagai mesej kepada Kedutaan Amerika Syarikat tentang kepentingan menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.

"Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh semua rakyat Malaysia dan saya ingin menyampaikan memorandum ini dengan membawa mesej kami kepada Kedutaan AS.

“Dengan memorandum kami ini, diharapkan ia akan memberi amaran keras kepada sesiapa sahaja yang ingin membuat kenyataan negatif yang menyentuh perkara sensitif berkenaan rakyat Malaysia,” katanya. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram