'Kita nak tengok siapa bersih, siapa kotor', Sany Hamzan tempelak pembangkang bantah bahas LKAN


  • Politik
  • Selasa, 06 Jun 2023

Mohd Sany ketika sidang akhbar di Parlimen pada Selasa. — Ubah TV

AHLI Parlimen Hulu Langat dari Pakatan Harapan (PH), Mohd Sany Hamzan menempelak tindakan pembangkang yang tidak mahu Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 dibahas di Parlimen pada Selasa.

Menurut Sany, ketika ini kerajaan ditadbir oleh Kerajaan Perpaduan yang mahu ia dibahaskan kerana kerajaan tidak akan berkompromi dengan amalan-amalan yang tidak sihat.

"Kerajaan yang ada pada hari ini adalah Kerajaan Perpaduan. Kerajaan ini kerajaan kami, jadi ikut suka kami. Sekarang ini kami hendak supaya laporan daripada Ketua Audit Negara ini dibahas. Kami jadi kerajaan sekarang, jadi kami nak laporan ini dibahas.

"Jadi kalau pembangkang yang sedia ada ini dia rasa takut...dulu dia kata, dia parti yang bersih dan stabil. Bersih ini maksudnya, tak rasuah, tak curi duit rakyat dan sebagainya," kata Mohd Sany ketika sidang media di Parlimen pada Selasa.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh apabila pembangkang bersepakat supaya LKAN tidak dibahas dalam persidangan atas alasan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Mohd Sany menegaskan lagi bahawa, usul supaya LKAN dibahaskan secara terperinci antara lain bagi menunjukkan ketelusan dalam semua aspek pentadbiran awam, namun tindakan pembangkang berbuat demikian seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada rakyat.

"Hari ini kita nak dedahkan kepada seluruh masyarakat dan rakyat dalam negara kita. Kita nak tengok siapa yang bersih dan siapa yang kotor.

"Sebab itu saya sebutkan tadi, pepatah orang tua ada menyatakan berani buat, berani tanggung. Ini Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani, Kerajaan Rahmah, kita tidak boleh berkompromi dengan amalan-amalan tidak sihat, amalan-amalan rasuah dan amalan-amalan 'sakau' duit rakyat dalam negara kita.

"Inilah standard pembangkang yang ada dalam negara kita, memang tak ada standard," katanya lagi

Pada sesi perbahasan usul LKAN 2021, Dewan Rakyat lengang selepas kesemua Ahli Parlimen pembangkang mengambil keputusan untuk tidak menyertai perbahasan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram