P. Pinang milik Kedah: Tun M akui pernah pujuk Guan Eng bayar pajakan lebih RM10,000


  • Politik
  • Rabu, 07 Jun 2023

Mahathir Mohamad pernah memujuk Lim Guan Eng untuk membayar pajakan Pulau Pinang kepada Kedah dengan kadar lebih daripada RM10,000. — Awani

DAKWAAN Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah seperti yang dikemukakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor baru-baru ini semakin hangat diperkatakan di laman media.

Mengulas lanjut berkenaan hal itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat bahawa dakwaan Muhammad Sanusi adalah tidak benar.

Dalam pada itu, beliau mengakui pernah memujuk bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk membayar pajakan Pulau Pinang kepada Kedah dengan kadar lebih daripada RM10,000 pada setiap tahun semasa menjawat jawatan tersebut.

"Saya tidak ingin mahu terlibat dengan kontroversi ini. Tetapi saya berpendapat dakwaan Muhammad Sanusi adalah tidak tepat kerana memberi pandangan berdasarkan sejarah yang lampau.

"Dari segi sejarah, Sultan Kedah ketika itu bersetuju untuk menyerahkan Pulau Pinang dengan pembayaran 6,000 dolar Sepanyol setahun. Kemudian ditambah dengan jalur tanah besar bertentangan Seberang Perai yang bernilai pajak 4,000 dolar Sepanyol setahun.

"Saya tidak akan berkata apa-apa tentang apa yang terjadi kepada dua negeri ini kecuali mengakui bahawa saya telah memujuk Guan Eng semasa beliau menjawat Menteri Kewangan untuk memberi lebih RM10,000 kepada Kedah setiap tahun," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambahnya, penyerahan kepada British itu diikat dengan perjanjian mempertahankan Kedah daripada ancaman luar, bagaimanapun umum mengetahui British memungkiri perjanjian itu.

Terdahulu, Muhammad Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Beliau berkata, Kedah hanya mempunyai sempadan dengan Perak dan Perlis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram