Isu kalimah ALLAH: MAIS kesal kerajaan tidak berunding sebelum putuskan tarik balik rayuan


  • Primer
  • Rabu, 17 Mei 2023

Abdul Aziz Mohd Yusof tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk menarik balik semula rayuan berkaitan kes penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama Kristian. — Awani

TINDAKAN kerajaan menarik balik rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berkaitan kes penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama Kristian mendapat tentangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menegaskan, pihaknya berpandangan kes tersebut bukan hanya berkaitan isu pentadbiran dan keselamatan, tetapi ia juga melibatkan perkara akidah umat Islam dan pentadbiran agama Islam yang berada bawah bidang kuasa Raja sebagai ketua agama negeri.

"Sebelum ini dalam kes rayuan tersebut, pihak MAIS dan dua lagi Majlis Agama Islam Negeri telah dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan untuk hadir dalam kes rayuan ini sebagai 'amicus curae' (sahabat mahkamah).

"Bagaimanapun, MAIS terkilan dan kesal dengan tindakan unilateral kerajaan yang menarik balik rayuan ini tanpa berunding dengannya dan pihak-pihak lain terlibat yang mempunyai kepentingan dalam kes rayuan ini," ujar beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.

MAIS juga mengulangi kenyataan pihaknya sebelum ini dan menegaskan bahawa penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam di Selangor merupakan suatu kesalahan jenayah di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di Selangor dan juga menyalahi fatwa yang diwartakan di Selangor pada 18 Februari 2010.

"MAIS berpandangan, demi kepentingan awam, proses rayuan dalam kes melibatkan penggunaan kalimah ALLAH ini wajar diteruskan bagi membolehkan mahkamah di peringkat tertinggi di negara ini memutuskan isu tersebut secara muktamad yang boleh menjadi panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam isu penggunaan kalimah suci berkenaan.

"Justeru, MAIS menyeru kepada semua pihak termasuk ahli politik untuk menghormati kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri serta mengambil kira dan merujuk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 yang berkuat kuasa di negeri Selangor sebelum membuat apa-apa dasar atau keputusan.

"Ini untuk memastikan dasar atau keputusan yang dibuat tidak mencabar kedudukan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Negeri dan sejajar dengan kedudukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa di negeri Selangor," ujarnya.

Terdahulu, kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ALLAH, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram